Wawasan Bandaraya Miri

Wawasan Bandaraya Miri

MIRI, 29 Julai – Miri, bandar bukan ibu negeri pertama di negara ini yang diberi status bandar raya, akan mengkaji kejayaan Bandaraya Kota Kinabalu, untuk dijadikan model untuk memajukan lagi sektor pelancongannya, kata datuk bandar Miri yang baru dilantik, Adam Yii Siew Sang.

“Kota Kinabalu boleh dijadikan model kami dan saya berharap, suatu hari nanti, Bandaraya Miri akan menjadi sehebat dan semaju Kota Kinabalu, kalaupun tidak lebih daripada itu,” katanya pada upacara angkat sumpah jawatan datuk bandar, timbalan datuk bandar dan 32 anggota majlis di sini hari ini.

Yii berkata Bandaraya Miri memiliki kelebihan dari segi kepelbagaian budaya, berbanding bandar raya lain di negara ini, termasuk mempunyai kumpulan etnik kurang dikenali seperti Kelabit, Saban, Barawang, Kayan dan Kenyah yang boleh memberi identiti unik kepada sebuah bandar raya.

Yii, datuk bandar ketiga Bandaraya Miri, berkata Bandaraya Miri mempunyai akses baik ke Gua Mulu, sebuah tapak warisan dunia, Gua Niah dan Bario, yang boleh dijadikan destinasi peranginan tanah tinggi premium.

“Ini adalah antara aset pelancongan kami yang akan kami manfaatkan sepenuhnya, Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan segera menyusun dan mengumpul aset pelancongan ini serta mula mempromosikannya secara agresif,” katanya.

Beliau juga berjanji untuk cuba mengatasi masalah kesesakan lalu lintas kronik di beberapa bahagian bandar raya ini, perbuatan meletak kenderaan sesuka hati, masalah alam sekitar dan sampah, keselamatan, masalah kezaliman terhadap haiwan dan setinggan. – Bernama