Wawarinka julang Terbuka AS

Wawarinka julang Terbuka AS

NEW YORK, 12 Sept – Kemenangan Stan Wawrinka ke atas pemain nombor satu dunia Novak Djokovic dalam Terbuka AS memberikannya kejuaraan Grand Slam ketiga dalam final, namun pemain Switzerland berusia 31 tahun itu berkata perlawanan itu bukan begitu mudah.

Wawrinka, digambarkan oleh Djokovic sebagai seorang pemain yang berjaya menghadapi keadaan, mengakui dia berasa gemuruh sebelum perlawanan kejohanan semalam.

“Saya menggeletar dalam bilik loker,” katanya, menambah ketika perbincangan saat-saat terakhir dengan jurulatih Magnus Norman “saya mula menangis.”

“Saya menggigil,” kata Wawrinka, walaupun dia menambah sepanjang masa dia tetap yakin dia mempunyai perlawanan untuk dimenangi.

“Dari segi fizikal, saya berada di sana. Perlawanan saya ada di sana. Bertarung di gelanggang dan anda akan mempunyai peluang untuk menang,” beritahunya kepada dirinya sendiri.

Wawrinka yang memenangi kejohanan Terbuka AS setelah menewaskan pemain nombor satu dunia Novak Djokovic 6-7 (1/7), 6-4, 7-5, 6-3. - AFP
Wawrinka yang memenangi kejohanan Terbuka AS setelah menewaskan pemain nombor satu dunia Novak Djokovic 6-7 (1/7), 6-4, 7-5, 6-3. – AFP

Itulah yang dilakukan oleh Wawrinka, menghapus kekalahan set pertama untuk memperoleh kemenangan 6-7 (1/7), 6-4, 7-5, 6-3 ke atas juara Grand Slam 12 kali Djokovic.

Dia tidak membenarkan Djokovic memenangi kejuaraan Terbuka AS kedua berturut-turut, dan untuk kali ketiga menewaskan juara bertahan nombor satu dalam final.

Wawrinka telah pun diuji secara keras dalam laluannya memasuki pusingan final.

Dia menghabiskan hampir 18 jam di gelanggang, menyelamat satu mata penamat dalam lima set ke atas pemain Britain Dan Evans dalam pusingan ketiga.

Dia terpaksa bangkit ke atas bekas peserta akhir Terbuka AS Kei Nishikori dalam separuh akhir, dan melepaskan diri daripada bekas juara Juan Martin del Potro dalam empat set suku akhir.

“Saya fikir Grand Slam ini adalah yang paling menyakitkan, dari segi fizikal dan mental, yang pernah saya main,” kata Wawrinka. “Saya sudah berasa letih pada awal perlawanan. Saya terasa kekejangan dalam set ketiga.”

Rasa sakit dalam set keempat, Wawrinka berkata dia bertekad “tidak mahu menunjukkan apa-apa” tetapi “memberikan segalanya dan terus bertarung dan berusaha memenanginya.”

Wawrinka, yang telah memberikan Djokovic dua kekecewaan Grand Slam terbesarnya, termasuk dalam final Terbuka Perancis pada tahun lalu, berkata dia menjangka kejohanan maratonnya diakhiri dengan ujian ketahanan ke atas pemain Serbia itu. – AFP