Wawrinka julang Terbuka Chennai

Wawrinka julang Terbuka Chennai

CHENNAI, India, 11 Jan (AFP) – Pilihan utama, Stanislas Wawrinka menewaskan pemain muda Croatia, Borna Coric untuk merangkul gelaran tenis ATP Terbuka Chennai untuk tahun ketiga berturut-turut.

Kemenangan 6-3, 7-5 dalam tempoh 90 minit itu menyaksikan pemain nombor empat dunia kelahiran Switzerland itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$75,700 dan 250 mata ranking dunia.

Wawrinka yang sememangnya popular di Chennai menerima sokongan padu penyokong di Stadium Tenis Nungambakkam, tidak bermasalah menundukkan Coric yang muncul pemain paling muda beraksi dalam final ATP sejak lapan tahun lalu.

“Saya memang menjangkakan perlawanan yang sukar. Dia muda, dia juga amat bagus,” kata Wawrinka yang juga pemenang dua kali gelaran Grand Slam.

“Sekali lagi, hari ini cukup sukar buat saya, saya terpaksa bermain permainan terbaik saya. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Borna untuk final pertamanya, kejohanan pertama tahun ini,” katanya.

Stanislas Wawrinka ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – AFP
Stanislas Wawrinka ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – AFP

Kejayaan di sini, baik buat Wawrinka menjelang kejohanan Grand Slam pertama tahun ini, Terbuka Australia yang dijadual bermula di Melbourne pada 18 Januari.

“Adalah amat penting untuk saya bermula di sini. Saya gembira untuk kembali ke sini. Ia adalah keadaan yang sempurna untuk bermula,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

“Malam ini bersama trofi, ia perasaan yang amat hebat…. saya akan menikmati trofi ini dulu dan lihat apa yang berlaku di Terbuka Australia.”

Dua tahun lalu, Wawrinka mengikuti kejayaannya di Terbuka Chennai dengan menewaskan Rafael Nadal di final Terbuka Australia, tiga minggu kemudian yang juga gelaran Grand Slam pertamanya.