Wawrinka, Kyrgios sukar berbaik

Wawrinka, Kyrgios sukar berbaik

DUBAI, 26 Feb (AFP) – Stan Wawrinka mengakui bahawa dia dan Nick Kyrgios sukar untuk berbaik semula tatkala mereka sedang bersiap untuk bertembung buat kali pertama sejak pemain Australia itu mengeluarkan kenyataan berbaur ejekan mengenai teman wanita juara bertahan Terbuka Perancis itu.

Wawrinka dan Kyrgios akan bertemu di pentas separuh akhir Dubai awal pagi nanti, enam bulan selepas pertemuan di Montreal yang menyaksikan Kyrgios mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan teman wanita bintang Switzerland itu iaitu Donna Vekic dengan mendakwa rakan senegaranya, Thanasi Kokkinakis pernah meniduri pemain muda Croatia itu.

Susulan tindakan itu, Kyrgios digantung 28 hari dan didenda AS$25,000 “Dia adalah pemain tenis, saya juga pemain tenis. Sudah pasti, kami tidak berkawan. Kami tidak pergi makan malam bersama-sama. Tetapi ia tidak lebih daripada itu,” kata Wawrinka.

“Kami bertemu pada Jelajah setiap minggu. Itu saja. Saya ketika ini memikirkan untuk menewaskannya. Dia berada tahap terbaiknya ketika ini. Dia muncul juara minggu lalu. Dia begitu yakin dan jelas sekali perlawanan ini pasti sukar.”

Kyrgios yang menghuni ranking ke-33 dunia dan menjuarai gelaran di Marseille minggu lalu, berkata kontroversi pada Ogos lalu sudah dianggap sebagai satu sejarah.

“Sejak insiden terbabit, saya fikir kami sudah tidak terlalu memikirkan mengenainya lagi,” kata Kyrgios.

“Kami bermain sebagai satu pasukan pada IPTL (Liga Tennis Premier Antarabangsa). Ia sangat bagus. Saya sempat mengenalinya dengan lebih mendalam.”