Wawrinka puji Murray

Wawrinka puji Murray

PARIS, 2 Jun – Juara bertahan Stan Wawrinka tampil memuji lawan yang akan ditemui di separuh akhir Terbuka Perancis Andy Murray sebagai berada dalam kelas berbeza walaupun masing-masing sudah mengecapi dua kemenangan Grand Slam.

Pasangan itu akan membuat perhitungan di separuh akhir esok untuk merebut tempat ke final dengan bintang Switzerland itu cuba mempertahankan trofi yang dimenangi penuh bergaya ke atas Novak Djokovic 12 bulan lalu.

Sementara itu, Murray sedang dalam usahanya untuk muncul sebagai pemain Britain pertama mara ke pentas final Roland Garros sejak Bunny Austin pada 1937.

Stanislas Wawrinka akan berdepan Andy Murray dalam saingan separuh akhir Terbuka Perancis. – AFP
Stanislas Wawrinka akan berdepan Andy Murray dalam saingan separuh akhir Terbuka Perancis. – AFP

Tetapi Wawrinka menegaskan karier mereka berjalan dalam laluan yang berbeza.

“Saya fikir dia berada di depan saya. Sekarang orang mula bercakap saya semakin hampir dengannya selepas saya merangkul dua gelaran Grand Slam. Dia juga memenangi dua gelaran,” kata Wawrinka yang juga juara Terbuka Australia 2014.

“Tetapi jika dibandingkan karier kami berdua, dia sememangnya di depan saya berdasarkan kemenangan gelaran, jumlah final, pemain nombor dua dunia selain menyambar banyak kejuaraan Masters 1000.

“Ingin saya ulang sekali lagi, dia berada dalam senarai pemain ‘empat terbesar’ (bersama Djokovic, Roger Federer and Rafael Nadal). Mungkin dia kekurangan gelaran berbanding tiga pemain itu, tetapi dia sentiasa bersama mereka di separuh akhir dan final. Karier dia sangat cemerlang.”

Wawrinka setakat ini mengumpul 14 gelaran, termasuk dua Grand Slam dan satu Masters.

Murray pula yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat 2012 dan Wimbledon 2013, menyimpan 36 trofi dalam kabinet dengan 12 daripadanya adalah kejuaraan Masters. – AFP

 

ARTIKEL YANG SAMA