Wawrinka selesa tidak ‘dipeduli’

Wawrinka selesa tidak ‘dipeduli’

LONDON, 1 Julai (Reuters) – Bintang tenis Switzerland, Stanislas Wawrinka amat selesa dengan kegagalannya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik dunia, meskipun berjaya merangkul Grand Slam kedua dengan menjuarai Terbuka Perancis, bulan lalu.

Wawrinka mengejutkan Novak Djokovic pada perlawanan akhir di Roland Garros, dan semalam dia memulakan kempen Wimbledon dengan menyingkirkan pemain Portugal, Joao Sousa 6-2, 7-5, 7-6 pada pusingan pertama.

Walaupun dia diletak sebagai pilihan keempat kejohanan, namun tumpuan peminat terarah kepada pemain empat terbaik dunia – Djokovic, Roger Federer, Andy Murray dan Rafael Nadal.

“Secara peribadi saya tidak peduli. Bagi saya kedudukan empat pemain terbaik akan kekal seperti itu. Mereka memang bagus kerana telah banyak mengecapi kejayaan dalam tenis dan mereka akan mengekalkan kedudukan itu untuk 10 tahun lagi.

“Mereka berhak untuk menjadi empat pemain utama dan mereka akan kekal menjadi empat pemain terbaik. Itu dari segi pandangan saya,” katanya.

Wawrinka meraikan kemenangan selepas menyingkirkan Joao Sousa pada pusingan pertama semalam. – Reuters
Wawrinka meraikan kemenangan selepas menyingkirkan Joao Sousa pada pusingan pertama semalam. – Reuters

Wawrinka, 30, menjuarai Terbuka Australia tahun lalu dan beraksi bersama Federer untuk membantu Switzerland merangkul kejuaraan Piala Davis sebelum menamatkan impian Djokovic meraih kejuaraan grand slam di Roland Garros.

“Ini kejohanan baharu. Kami semua bermula dari bawah. Kami perlu menang dari satu perlawanan ke satu perlawanan untuk melangkah jauh. “Saya yakin dengan diri saya tetapi berhati-hati dari segi persediaan mental untuk setiap perlawanan,” kata Wawrinka.

ARTIKEL YANG SAMA