Wayback Burgers buka cawangan baru

Wayback Burgers buka cawangan baru

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Francais makanan segera terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Wayback Burgers kini mempunyai dua cawangan di Brunei Darussalam dengan pelancaran cawangan terbarunya di Giant Rimba, semalam.

Pembukaan rasmi cawangan tersebut telah disempurnakan oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Brunei Darussalam, Craig Boyd Allen, Presiden Wayback Burger Amerika Syarikat, John Ecuallito dan Pengasas serta Pengarah Urusan JonRidge (B) Sdn Bhd, John Burgos juga selaku Pengarah Urusan Wayback Burgers Brunei.

Craig Allen dalam ucapannya menyampaikan ucapan tahniah atas pembukaan cawangannya kedua di negara ini, dan bermula dengan restoran burger di Newark, Delware, AS pada tahun 1991, restoran tersebut telah menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya.

“Burger menjadi ikonik kepada makanan di AS dan dinikmati di seluruh dunia. Burger juga sangat popular di Brunei, ketika ini lebih 10 francais makanan dan minuman Amerika Syarikat beroperasi di negara ini.

“Pembukaan cawangan francais AS bermakna membuka peluang pekerjaan untuk rakyat Brunei serta di AS,” ujar beliau.

John Burgos, Craig Allen dan John Ecuallito menyempurnakan perasmian cawangan kedua Wayback Burgers di Giant Rimba.
John Burgos, Craig Allen dan John Ecuallito menyempurnakan perasmian cawangan kedua Wayback Burgers di Giant Rimba.

Menurut beliau lagi, setelah kerjasama perdagangan di bawah Perkongsian Trans-Pasifik disahkan, lebih banyak peluang bagi syarikat-syarikat di AS dan Brunei menjalankan produk eksport dan perkhidmatan di pasaran lain.

Bersempena dengan pembukaan cawangan kedua ini, restoran tersebut menawarkan promosi bermula semalam hingga 18 September ini, yang mana setiap pembelian dua burger dan satu susu kocak akan menerima susu kocak perisa bagi bulan ini secara percuma.

John Burgos pula mengulas bahawa cawangan kedua itu dibuka selepas pembukaan cawangan pertama empat bulan lalu di Setia Kenangan dan cawangan ketiga akan dijadualkan pada November depan di Gadong.

“Setakat ini, kami sudah mempunyai 30 orang kakitangan Wayback yang berdedikasi tinggi dan akan membesar dengan cawangan ketiga nanti,” ujarnya.

Menurut John Ecuallito, Wayback Burgers ketika ini juga sedang berkembang ke negara-negara jiran melalui JonRidge International Sdn Bhd, syarikat yang memegang hak Francais Asia dengan Indonesia.

“Sejak ia dibuka, sambutan sangat baik terutama produk The Triple-triple dengan men-catat jualan 1,000 set sejak cawangan pertama dibuka,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA