WBC bantu masyarakat di Daerah Tutong

WBC bantu masyarakat di Daerah Tutong

TUTONG, 24 Jun – Kelab Boling Padang Wisdom Negara Brunei Darussalam (WBC) sekali lagi melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dengan mengadakan projek amal bagi membantu dan meringankan beban anak-anak yatim, warga emas dan golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan bersempena sambutan bulan Ramadan.

Projek dan aktiviti amal kali kedua itu menyasarkan mereka yang menetap di Daerah Tutong, terutamanya di sekitar Kg. Telisai dan sepanjang Jalan Lamunin.

Antara yang mencuri perhatian pihak WBC ialah tiga beradik yatim piatu dari Kampung Sungai Paku, Telisai yang kini dibawah penjagaan kakak kandung mereka yang juga tiada pendapatan dan bantuan dari mana-mana pihak.

Mengetuai rombongan untuk menyampaikan sumbangan barang-barang keperluan asasi kepada para penerima terpilih ialah Presiden kelab berkenaan, Haji Johari Awang Achee.

Di Kampung Kiudang, seramai enam orang anak yatim adik-beradik yang tinggal bersama ibu saudara mereka yang juga seorang balu, mendapat perhatian WBC.

Abdul Rashid Abdullah Rinjo seorang mualaf warga emas dari Kampung Kebia yang kurang berkemampuan adalah antara penerima sumbangan barangan asasi dari Kelab Boling Padang Wisdom.
Abdul Rashid Abdullah Rinjo seorang mualaf warga emas dari Kampung Kebia yang kurang berkemampuan adalah antara penerima sumbangan barangan asasi dari Kelab Boling Padang Wisdom.

pg08_160625_d

Diharap anak-anak yatim berkenaan tidak tercicir pendidikan formal sekalipun berdepan kehidupan yang serba kekurangan tanpa kedua orang tua yang berada di sisi mereka.

Selain untuk membantu dan meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan, sumbangan WBC itu dihasrat dapat memberikan kegembiraan kepada mereka dalam menyambut bulan Ramadan yang mulia ini di samping dapat mengurangkan perbelanjaan mereka menjelang hari raya Aidilfitri nanti.

Sekalipun Kelab Boling Padang Wisdom baru mencecah usia empat tahun sejak ditubuhkan pada tahun 2012, namun ianya bukanlah menjadi halangan untuk mereka giat berbakti dengan mengadakan aktiviti seumpama ini, lebih-lebih lagi melibatkan kesejahteraan masyarakat di negara ini.

Timbalan Presiden WBC, Mohd Hilme Abdul Aziz berharap, lebih ramai pihak tampil untuk terus memberikan sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA