WBC galas Cabaran Triples Piala Borneo

WBC galas Cabaran Triples Piala Borneo

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Kelab Boling Padang Wisdom dari Negara Brunei Darussalam sekali lagi akan bertanding pada kejohanan Boling Padang Kinabalu Triples Piala Borneo (Kinabalu Triples Borneo Cup Lawn Bowls Championship 2016) yang akan berlangsung di Sabah, Malaysia.

Menurut kenyataan daripada WBC, sebanyak tiga buah pasukan yang terdiri daripada sembilan pemain termasuk dua pemain remaja iaitu Mohd Arif bin Haji Amli dan Muhd Waie Badiuzzaman bin Ahmad yang sebelum ini pernah memenangi pingat gangsa Kategori Remaja pada Kejohanan Asia Bowls yang diadakan baru-baru ini.

Sebagai persiapan untuk acara tersebut, para peserta telah diberi bimbingan oleh Ketua Jurulatih, Haji Abd Ghafar bin Pehin Orang Kaya Laksamana Dato Seri Setia Haji Mohd Taha, di mana beliau berhasrat untuk memperbaiki lagi rekod peserta pada kejohanan ini, berikutan penyertaan mereka pada tahun lepas hanya berjaya muncul sebagai naib juara apabila tewas pada perlawanan akhir kepada Pasukan IPT Malaysia.

Menurut Ketua Jurulatih WBC, Haji Abdul Ghafar, “Persiapan dan latihan intensif berterusan untuk ke kejohanan ini sudah bermula sejak dua bulan lepas, sasaran kali ini adalah untuk menyamai pencapaian musim lepas iaitu mara ke perlawanan akhir.”

Pasukan WBC bergambar ramai bersama dengan Presiden WBC, Haji Johari Achee (5 kiri)pada hari terakhir latihan mereka di Pusat Boling Padang, KSNHB, Berakas.
Pasukan WBC bergambar ramai bersama dengan Presiden WBC, Haji Johari Achee (5 kiri)pada hari terakhir latihan mereka di Pusat Boling Padang, KSNHB, Berakas.

Menurutnya lagi adalah terlalu sukar untuk menyamai rekod musim lepas kerana prestasi pasukan lain juga mungkin mempamerkan peningkatan yang jauh lebih baik pada tahun ini, bagaimanapun jelasnya WBC akan mencuba sebaik mungkin untuk meraih kejayaan.

Rombongan pertama WBC akan berlepas meninggalkan negara pada hari Jumaat, 20 Mei, manakala rombongan kedua pula akan menyusul pada hari berikutnya (Sabtu, 21 Mei).

Kejohanan yang berlangsung di Gelanggang Boling Padang Likas Sabah ini akan membuka tirainya pada 23 hingga 26 Mei ini. Kejohanan yang berprestij ini turut disertai oleh beberapa pasukan dari Semenanjung Malaysia, Filipina, Australia, Jepun, Thailand, Wilayah Persekutuan Labuan dan tuan rumah Sabah.

ARTIKEL YANG SAMA