WBC julang Piala Presiden

WBC julang Piala Presiden

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Kelab Boling Padang Wisdom (WBC) Brunei Darussalam muncul juara Piala Presiden edisi pertama selepas menundukkan Kelab Sukan, Kebajikan & Kebudayaan Labuan (KSKK PL) dalam perlawanan timbal balik kelmarin dengan keputusan 19 mata berbalas 13 selepas mencatatkan enam kemenangan dan satu seri dari 11 perlawanan.

Kejohanan yang diadakan selama dua hari di Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan itu bertujuan untuk membina persefahaman yang erat dan hubungan baik di antara kedua-dua buah kelab berkenaan

Menurut kenyataan di sini, ia juga sebagai satu titik tolak kepada hubungan kerjasama dua hala untuk jangka masa panjang terutamanya dalam sukan boling padang.

Hadir menyampaikan hadiah kemenangan kepada para pemain ialah Presiden WBC, Haji Johari Awang Achee.

Turut hadir ialah Presiden KSKK PL, Awang Shahrulnizam Sapar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan bin Haji Ismail.

Juara Piala Presiden 2015 bergambar ramai dengan Haji Johari dan Awang Shahrulnizam.
Juara Piala Presiden 2015 bergambar ramai dengan Haji Johari dan Awang Shahrulnizam.

Pada hari pertama kejohanan, WBC memperlihatkan kehebatan mereka apabila melakar tiga kemenangan dari lima perlawanan.

Sementara itu, pada hari terakhir WBC menerima tentangan sengit daripada Pasukan KSKK PL apabila terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata selepas mencatatkan keputusan seri sembilan sama dalam perlawanan Triples VIP.

Walau bagaimanapun, WBC memperoleh sembilan mata menerusi tiga disiplin berbeza apabila Haji Osman bin Haji Yahya yang bergandingan dengan Haji Mat Rasil bin Haji Ahmad mencatatkan keputusan selesa menundukkan pasangan KSKK PL dengan kiraan 20–8.

Kemudian Pasukan Fours WBC menang selesa 12–5 diikuti Pasukan Triples WBC menang 8–6 untuk memastikan kemenangan WBC.

Selaku Juara, WBC membawa pulang piala presiden yang juga piala pusingan serta sebuah piala iringan.

ARTIKEL YANG SAMA