WBC lakukan persembahan sebaiknya

WBC lakukan persembahan sebaiknya

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh WBC

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Hasrat Kelab Boling Padang Wisdom (WBC) untuk melangkah ke peringkat kalah mati Kejohanan Boling Padang Terbuka Triples Kinabalu – Piala Borneo 2016 tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan tempat keempat di peringkat awal.

Peluang WBC ‘A’ untuk melepasi halangan peringkat kumpulan, disekat Pasukan Perth ‘A’ dari Australia apabila tewas tipis 13–14, walau bagaimanapun WBC ‘C’ pula mempamerkan permainan yang baik semalam apabila meraih tiga kemenangan daripada empat perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Pasukan berkenaan tidak berjaya mara ke peringkat seterusnya ekoran penelitian perbezaan mata menghalang mereka untuk berada di kedudukan empat pasukan teratas untuk layak ke peringkat kalah mati.

Muhd Waie Badiuzzaman Ahmad semasa beraksi di perlawanan hari ketiga Piala Borneo
Muhd Waie Badiuzzaman Ahmad semasa beraksi di perlawanan hari ketiga Piala Borneo

Peluang terbaik WBC untuk mara ke pusingan kedua adalah menerusi Pasukan WBC ‘B’ yang antaranya menang ke atas Pasukan Labuan dengan kiraan 17 – 10 sebelum tewas 7–18 di tangan Pasukan RBT Sabah sekali gus meranapkan impian mereka untuk mara ke pusingan kedua.

Menurut salah seorang pemain WBC yang juga Timbalan Setiausaha WBC, Ampuan Hajah Lily Maryani Ampuan Haji Salleh menyatakan bahawa WBC mempamerkan permainan terbaik mereka namun pihak lawan turut tampil dengan prestasi terbaik mereka, hanya faktor nasib yang tidak menyebelahi mereka apabila terpaksa akur kerana setiap bola terakhir pihak lawan sering menjadi pemusnah

Sementara itu, Ketua Jurulatih WBC, Haji Abdul Ghafar bin Pehin Orang Kaya Laksamana Dato Seri Setia Haji Mohd Taha menegaskan kejohanan seperti ini merupakan medan terbaik buat pemain remaja dari Brunei untuk menimba pengalaman.

Tambah beliau lagi, ketahanan mental dan fizikal serta kepantasan mengadaptasi padang permainan menjadi kunci utama kepada pemain negara pada kejohanan ini, beberapa kelemahan dapat dilihat dan banyak pembaikan diperlukan buat pemain remaja apabila kembali ke tanah air nanti.

Perlawanan peringkat kalah mati hingga ke perlawanan akhir akan berlangsung hari ini (Khamis) di tempat yang sama, Gelanggang Boling Padang Kota Kinabalu, Kompleks Sukan Likas, Sabah Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA