WBC naib juara boling padang

WBC naib juara boling padang

KOTA KINABALU, 28 Mei – Kejohanan Boling Padang Terbuka Triples Kinabalu Piala Borneo 2015 melabuhkan tirainya semalam dengan menyaksikan pasukan Kelab Boling Padang Wisdom (WBC) dari Negara Brunei Darussalam muncul naib juara dalam edisi sulung sejak Piala Borneo dan Piala Kinabalu digabungkan tahun ini.

Strategi WBC menggabungkan pemain veteran, senior dan remaja dalam satu pasukan telah menunjukkan impak positif dalam kejohanan kali ini.

Walaupun tewas kepada Filipina pada aksi pembukaan 26 Mei lalu namun WBC terus mempamerkan prestasi yang memberangsangkan dengan menundukkan pasukan lain dalam laluan ke peringkat kalah mati.

Pada suku akhir, WBC berjaya menyingkirkan IPT Malaysia B 11–10, manakala pada separuh akhir pula, WBC berjaya menundukkan Filipina juga dengan kemenangan tipis 14–13 untuk mara ke final.

Hasrat WBC untuk menjulang kejuaraan sulung kejohanan tidak kesampaian apabila tewas kepada IPTM A dari Malaysia 31-10 pada final, sekali gus hanya selesai sebagai naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

(Dari kiri) Haji Amli, Haji Abdul Ghafar dan Md Halifi bergambar bersama piala dan sijil kemenangan selepas muncul naib juara.
(Dari kiri) Haji Amli, Haji Abdul Ghafar dan Md Halifi bergambar bersama piala dan sijil kemenangan selepas muncul naib juara.

Kejohanan kali ini turut disertai beberapa pasukan dari Australia, Filipina, Hong Kong dan beberapa buah negeri dari Semenanjung Malaysia termasuklah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Haji Abdul Ghafar, latihan intensif sebulan sebelum kejohanan bermula amat berbaloi. Sekalipun tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi namun semua taktik dan strategi di sepanjang latihan diaplikasikan di atas padang semasa perlawanan sebenar.

Sementara itu Haji Amli Haji Ghafar pula mendedahkan bahawa disiplin, taat kepada arahan ketua pasukan dan ketahanan mental menghadapi tekanan pihak lawan telah membolehkan mereka melangkah lebih jauh hingga perlawanan akhir.

Pada musim lepas kejohanan Piala Borneo dan Piala Kinabalu adalah kejohanan berasingan, tetapi tahun ini ia digabungkan dan hadiah kemenangan keseluruhan juga dinaikkan kepada AS$10,000 secara keseluruhan.

ARTIKEL YANG SAMA