Weatherford catat rekod bersih

Weatherford catat rekod bersih

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 2 Mac – Weatherford (B) Sdn Bhd, hari ini, telah meraikan 12 tahun pencapaian Rekod Catatan Masa Tanpa Sebarang Kecederaan (LTI) pada satu acara di ibu pejabatnya, di Kuala Belait.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Weatherford, mencatat masa 1,826,629 jam tenaga kerja dengan tiada laporan kejadian atau insiden dalam tempoh 12 tahun.

Pencapaian tersebut telah disambut baik oleh Pengurus Kawasan bagi Asia Tenggara, Eric C. Malcore; Pengarah, Haji Khairi bin Haji Khairil dan Pengurus Besar Weatherford (Malaysia) Sdn Bhd, Thomas Ng yang meraikannya bersama kakitangan syarikat.

Eric ketika ditemui hari ini memberitahu, selain daripada Brunei, hanya Vietnam sahaja yang diketahui mencatatkan pencapaian LTI lebih daripada 10 tahun bagi kawasan Asia Tenggara.

Menurutnya, pencapaian ini sangat luar biasa dan semenjak beliau bekerja dengan Syarikat Weatherford di rantau lain, beliau terpegun dengan budaya keselamatan yang diamalkan oleh kakitangan syarikat tersebut.

Pihak pengurusan dan kakitangan Syarikat Weatherford Sdn Bhd bergambar ramai.
Pihak pengurusan dan kakitangan Syarikat Weatherford Sdn Bhd bergambar ramai.

“Ia merupakan satu pencapaian yang luar biasa, terutamanya kerana kami mendapat projek-projek besar dan kerja-kerja yang menggunakan pengendalian seperti jentera berat serta melaksanakan tugas-tugas penting lain yang juga boleh menjadi agak mencabar, terutamanya apabila cuba untuk sentiasa mengekalkan keselamatan pekerja-pekerja kami sepanjang masa,” tambahnya.

Beliau turut menghargai cara pemikiran pekerja-pekerja tempatan di sini di mana mereka sentiasa peka terhadap kepentingan dalam mengutamakan keselamatan di mana-mana dan mereka tidak akan takut untuk bersuara serta menyuarakan kebimbangan atau pendapat mereka apabila berdepan dengan sebarang isu yang berkaitan dengan soal keselamatan di tempat kerja.

“Kami memperkenalkan satu inisiatif kami sendiri yang bermula sejak empat hingga lima tahun yang lalu dinamakan ‘Intervention Card’ yang mana kad ini berperanan sebagai satu tindakan yang boleh diambil oleh mana-mana kakitangan (semua kakitangan diberi kad tersebut).”

Jelasnya lagi, kakitangan boleh menghubungi pihak pengurusan atas syarikat jika mereka mengetahui terdapatnya atau berdepan dengan individu yang mempunyai isu bercanggah dengan soal keselamatan ketika itu dan tindakan susulan segera akan diambil bagi menyelesaikannya.

Bagi pihak Weatherford, beliau menyatakan komitmen untuk meneruskan lagi pencapaian ini pada masa hadapan dengan objektif dan sasaran LTI yang baru.

ARTIKEL YANG SAMA