Web baru JPMC lebih efektif

Web baru JPMC lebih efektif

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

Gambar oleh Bahiyah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah melancarkan laman sesawang berwajah baru dan rangkaian media sosialnya, hari ini, di majlis yang berlangsung di Grand Stand, Royal Brunei Polo and Riding Club, di sini.

Pelancaran disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif dan Perubatan JPMC, Dato Dr Isham Jaafar dan Ketua Pemasaran, Awangku Danny bin Pengiran Tajuddin.

Dalam ucapan alu-aluannya, Awangku Danny berkata pelancaran berkenaan menandakan antara kejayaan JPMC dan memperlihatkan peningkatan berterusan pusat berkenaan ke arah perkembangan dan perkhidmatan yang lebih baik.

“Media sosial memainkan peranan penting dalam berkomunikasi dengan masyarakat. Kini ia merupakan platform terkuat digunakan orang ramai untuk menyampaikan informasi melalui gambar, video dan teks,” ujar beliau.

Menjelaskan mengenai laman sesawang JPMC, ia kini mempunyai ciri-ciri baru termasuk tempahan perjanjian dan memaparkan maklumat doktor-doktor yang dalam talian.

Dato Dr Isham Jaafar melancarkan wajah baru laman sesawang JPMC, yang kini mempunyai ciri-ciri baru termasuk tempahan perjanjian dan maklumat doktor-doktor dalam talian.
Dato Dr Isham Jaafar melancarkan wajah baru laman sesawang JPMC, yang kini mempunyai ciri-ciri baru termasuk tempahan perjanjian dan maklumat doktor-doktor dalam talian.
Awangku Danny ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran wajah baru laman web JPMC.
Awangku Danny ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran wajah baru laman web JPMC.

“Untuk menempah perjanjian dengan doktor-doktor hanya perlu klik sahaja. Kami hanya perlukan tarikh dan waktu yang sesuai, jabatan yang diperlukan, nama dan nombor untuk dihubungi dan pelanggan akan menerima maklum balas kira-kira 24 jam, melalui e-mel dan panggilan telefon.

“Dengan cara ini, maklumat yang disampaikan adalah lebih cepat dan berkesan dan pada bila-bila masa melalui platform media sosial,” jelasnya lagi.

Laman sesawang JPMC boleh dilayari di alamat http://jpmc.com.bn atau mengikuti Facebook (Jpmc Brunei) dan Instagram JPMC (@jpmcbrunei).

Dengan menyediakan platform media sosial, JPMC akan dapat merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat, seterusnya mempertahankan interaksi aktif dan memberikan orang ramai platform untuk berkongsi pendapat dan pengalaman mengenai JPMC di samping sebagai cara lain untuk mempamerkan promosi, acara dan berita terkini daripada JPMC.

Sejurus selepas acara pelancaran wajah baru laman sesawang dan rangkaian media sosial itu, para jemputan yang terdiri daripada pengamal media tempatan, blogger dan klien korporat JPMC disajikan dengan hidangan ringan serta permainan media sosial.

ARTIKEL YANG SAMA