Wednesday dalam laluan kembali ke EPL

Wednesday dalam laluan kembali ke EPL

LONDON, 17 Mei (AFP) – Sheffield Wednesday mara ke persaingan play-off Kejuaraan selepas seri 1-1 di Brighton semalam untuk menyelamatkan kemenangan agregat 3-1.

Pasukan Carlos Carvalhal itu hanya selangkah sahaja lagi untuk berada dalam Liga Perdana selepas mempamerkan permainan menarik dalam perlawanan kedua separuh akhir di Stadium Amex.

Selepas mendahului 2-0 dalam perlawanan pertama di Yorkshire Jumaat lalu, pasukan pelawat ketinggalan menerusi jaringan awal Lewis Dunk tetapi segera menyamakan kedudukan menerusi sepakan lintang Ross Wallace yang menerjah gawang.

Semua ini adalah insentif yang diperlukan Wednesday dan biarpun selesai 15 mata di belakang Brighton dalam persaingan kejuaraan, mereka mudah mengekang pasukan Chris Hughton pada separuh masa kedua untuk menetapkan temu janji di Wembley menentang sama ada Hull atau Derby pada 28 Mei.

Wednesday, yang kali terakhir beraksi di kelompok teratas pada 2000, dilihat akan menghadapi Hull dalam perlawanan akhir ketika pasukan Tigers itu mendahului Derby dengan kelebihan 3-0 sebelum perlawanan kedua separuh akhir lewat hari ini.

Ia adalah satu lagi pengalaman sukar bagi Brighton yang terlepas promosi secara automatik dengan perbezaan jaringan dan sekarang tewas dalam persaingan play-off sebanyak tiga kali dalam tempoh empat tahun.

Dengan anggaran 170 juta pound ($244 juta) yang ditawarkan kepada pasukan yang dipromosi ke Liga Perdana musim ini, Wednesday mempunyai alasan untuk berjuang dan membuat laluan kembali ke Wembley dan mereka bersedia bagi cabaran itu.

Brighton menyerang pada awal perlawanan dan menggegarkan tiang gol menerusi Anthony Knockaert sebelum mendahului minit ke-19 apabila Dunk menyudahkan hantaran Bruno. Tetapi Wednesday memberikan tindak balas yang sempurna ketika mereka menyamakan jaringan sembilan minit kemudian.

Wallace membuat hantaran lintang dan Brighton membuat aduan Dunk dikasari ketika dia cuba menanduk keluar bola, dengan penjaga gol pasukan Seagull, David Stockdale bersedia dan bola jelas memasuki gawang.

ARTIKEL YANG SAMA