Wehrlein sah pelumba Manor

Wehrlein sah pelumba Manor

LONDON, 12 Feb – Pasukan Manor Racing mengesahkan bahawa pelumba muda Jerman, Pascal Wehrlein (gambar) akan berlumba untuk pasukan Formula Satu mereka bagi musim 2016.

Pihak pengurusan di Manor Racing memberikan peluang kepada Wehrlein kerana yakin dengan sumbangan yang mampu diberikannya kepada pasukan mereka.

Wehrlein yang kini berusia 21 tahun akan mengambil bahagian dalam kedua-dua ujian pramusim menjelang Grand Prix pertama di Melbourne.

Pemilik Manor Racing, Stephen Fitzpatrick mengalu-alukan kedatangan Wehrlein dan menyifatkannya sebagai seorang pemandu yang cekap serta memiliki masa dengan yang cerah.

“Kami merupakan pasukan kerdil yang bakal menghadapi saingan besar musim ini. Justeru, kami memilih seorang pemandu yang memiliki bakat dan sesuai dengan misi kami.

#25 Pascal Wehrlein (D, gooix Mercedes AMG, DTM Mercedes AMG C-Coupé)

“Wehrlein telah mempamerkan aksi mengagumkan pada sesi ujian Mercedes dan Force India, ditambah pula dengan aksi cemerlang di Perlumbaan Touring Jerman (DTM) sepanjang musim lalu.

“Manor Racing merupakan platform yang sesuai buat dirinya mempamerkan impak yang hebat pada musim pertama. Kami sangat menantikan detik itu,” katanya.

Dalam pada itu, Wehrlein turut meluahkan rasa teruja dengan peluang yang terhidang di hadapannya.

“Manor Racing ialah tempat terbaik untuk saya mulakan karier saya sebagai pemandu F1. Saya sangat berbesar hati untuk berada di sini. Ia sebuah pasukan yang kecil dan sangat fokus. Saya tidak sabar untuk berkenalan bersama mereka.

“Walaupun ini musim pertama saya, matlamat saya ialah membantu Stephen dan rakan-rakan lain mencapai misi mereka musim ini.

“Ia akan menjadi cabaran besar buat kami, namun saya optimis mampu me ngutip mata buat pasukan saya. Terima kasih kepada Mercedes-Benz dan secara spesifik, Toto Wolff kerana telah membimbing saya selama ini,” ujarnya. – Agensi