Weiss, Slack juara Triathlon XTerra Asia

Weiss, Slack juara Triathlon XTerra Asia

LANGKAWI, 3 Mei (Bernama) – Peserta Afrika Selatan, Bradley Weiss dan peserta United Kingdom, Jacqui Slack menjuarai triathlon Jelajah XTerra Asia 2015 yang berakhir dengan kejohanan di Malaysia di sini semalam.

Weiss yang menduduki tempat ketiga dalam acara renang sejauh 1.5 km memperbaiki kedudukan di tempat kedua bagi acara basikal bukit sejauh 30 km sebelum mendahului dalam acara larian sejauh 5 km untuk mengungguli kejohanan bahagian profesional lelaki dengan catatan masa 2 jam 45:32.9.

Peserta Australia, Ben Allen menduduki tempat kedua dengan catatan masa 2 jam 50:07.0 sementara peserta Jepun, Takahiro Ogasawara di tempat ketiga dengan catatan 2 jam 54:24.2.

Bagi kategori profesional wanita, Slack mengungguli johan keseluruhan walaupun menduduki tempat ketiga jelajah di sini di belakang peserta Perancis, Myriam Guillot dan peserta New Zealand, Lizzie Orchard.

Kira-kira peserta 200 peserta dari 11 negara mengambil bahagian yang berlangsung di Langkawi tahun ini setelah diadakan di Putrajaya dua tahun lalu.

Sebelum Langkawi, kejohanan yang merupakan sebahagian siri dunia yang dimiliki syarikat berpangkalan di Hawaii, Team Unlimited, ia diadakan di New South Wales (Australia), Saipan Island, Guam dan Filipina.

Pengarah Team Unlimited, David Nicholas berkata mereka merancang untuk turut mengadakan kejohanan di New Zealand, Tahiti dan Jepun bagi jelajah tahun depan.

Beliau berkata berdasarkan sambutan para peserta, Langkawi dijangka dipilih sebagai hos kejohanan Malaysia tahun depan.