Welbeck kempunan

Welbeck kempunan

LONDON, 28 Mei (AFP) – Pengurus Arsenal Arsene Wenger menyatakan penyerang Danny Welbeck dijangka terlepas aksi final Piala FA Inggeris menentang Aston Villa, Sabtu ini.

Wenger mengesahkan masalah lutut Welbeck mungkin menyebabkannya diketepikan hujung minggu ini sekali gus mencetus persoalan sama ada penyerang itu cergas bagi perlawanan persahabatan England dan Republik Ireland di Dublin dan kelayakan Euro 2016 menentang Slovenia di laman lawan.

Ditanya jika beliau berasa bekas pemain Manchester United berusia 24 tahun itu mungkin cergas bagi final, Wenger berkata: “Mungkin tidak kerana dia tidak turun berlatih lagi.”

Ada berita baik buat Wenger mengenai kapten kelab Mikel Arteta, yang mungkin kembali ke skuad final Arsenal berikutan masalah betis dan buku lali yang menyaksikannya diketepikan sejak November lalu.

“Arteta satu kemungkinan kerana dia kembali berlatih sepenuh masa,” ujar Wenger, dengan pertahanan Perancis, Mathieu Debuchy turut berpeluang beraksi selepas kecederaan pangkal paha.

Sementara itu, Wenger merungut mengenai jadual antarabangsa FIFA dan percaya tindakan memulakan musim baru Liga Perdana lebih awal seminggu berbanding biasa Ogos ini satu kesilapan.

Arsenal dijangka menyaksikan beberapa pemain utama tampil bersama pasukan kebangsaan masing-masing tidak lama lagi dengan penjaga gol Colombia, David Ospina dan penyerang Chile, Alexis Sanchez beraksi pada Copa America dari 11 Jun hingga 4 Julai ini.

Dengan keperluan pemain bercuti sekurang-kurangnya empat minggu, ia pasti menjejaskan perancangan pra-musim.

“Mempercepatkan jadual pasti menjejaskan pramusim dan saya percaya satu keputusan silap memulakan Liga Perdana pada 8 Ogos,” jelas Wenger.

ARTIKEL YANG SAMA