Wenger akui peluang juarai EPL makin tipis

Wenger akui peluang juarai EPL makin tipis

LONDON, 10 April (AFP) – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger merumuskan pasukannya berdepan kesukaran untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas terikat 3-3 dengan West Ham, semalam.

Pasukan dari utara London berkenaan kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Leicester City selepas aksi itu yang menyaksikan Laurent Koscielny menyamakan kedudukan selepas West Ham bangkit daripada ketinggalan 2-0 dengan Andy Carroll meledak hatrik.

“Adakah kami masih mempunyai peluang untuk meraih gelaran? Saya tidak tahu,” kata Wenger.

“Kami menjadikannya lebih sukar hari ini.

“Kami berada di kedudukan ketiga dalam liga dengan 59 mata dan ia bukanlah satu kedudukan yang sepatutnya kami berada.

“Sukar untuk menjadi juara ketika ini tetapi kami perlu terus berusaha kerana kamu tidak tahu apa yang akan berlaku nanti. Terdapat kelab lain sedang mengejar kami, jadi adalah amat penting untuk menamatkannya di kedudukan terbaik.

“Namun saya tidak akan menyalahkan pemain. Kami kecewa kerana melepaskan tiga gol apatah lagi selepas 2-1. Secara keseluruhannya, ia memalukan.”

Arsenal jelas mengawal permainan apabila mendahului 2-0 selepas 35 minit selepas pemain muda dari Nigeria Alex Iwobi membantu Mesut Ozil dan Alexis Sanchez untuk menjaringkan gol.

Namun Carroll berjaya meledak hatrik dalam tempoh lapan minit pada minit ke-44, 45 dan 52 sebelum Koscielny menyumbat gol penyamaan pada baki 20 minit terakhir perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA