Wenger akui Southampton lebih baik

Wenger akui Southampton lebih baik

LONDON, 27 Dis – Arsene Wenger mengakui Southampton lebih baik selepas Arsenal tumpas 4-0 awal pagi tadi, namun dia turut mengaitkan kekalahan itu atas faktor nasib malang pasukannya selepas gol kedua yang dijaringkan lawan sepatutnya tidak dibenarkan pengadil, Jonathan Moss.

Cuca Martina membuka tirai jaringan dari rembatan jarak jauh sebelum Shane Long menambah gol kedua selepas penyerang Ireland itu dikasari pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny di luar kotak penalti.

Kapten pasukan, Jose Fonte menjadikan keputusan 3-0 menerusi tandukan pada minit ke-55 sebelum Long melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah 4-0 pada masa kecederaan.

“Kami gagal mengatasi banyak cabaran hari ini, mereka lebih baik daripada kami,” kata Wenger selepas pasukannya yang menduduki tangga kedua gagal memanfaatkan peluang untuk merampas pendahulu Liga Perdana Inggeris daripada Leicester City yang tewas 1-0 di Liverpool.

“Kami juga tidak bernasib baik, jaringan kedua mereka hadir selepas kesilapan daripada Koscielny. Apa pun, saya tak akan ambil pusing mengenai keputusan ini.”

Arsene Wenger akui Southampton lebih baik dalam perlawanan itu namun ia disebabkan oleh faktor lain. – Reuters
Arsene Wenger akui Southampton lebih baik dalam perlawanan itu namun ia disebabkan oleh faktor lain. – Reuters

Selain itu, Wenger turut menggambarkan perlawanan itu sebagai ‘sangat fizikal’ apabila pasukannya masih ketinggalan dua mata di belakang Leicester yang kekal di puncak carta ketika ini.

“Kamu perlu mengucapkan tahniah kepada Southampton… mereka bersaing habis-habisan dan sebaik saja mereka menjaringkan gol pertama, kamu boleh lihat ia bertukar menjadi perlawanan yang sukar.”

Sementara itu, pengendali Southampton, Ronald Koeman jelas gembira dengan keputusan berkenaan selepas kali terakhir skuad kendaliannya meraikan kemenangan ketika menewaskan Sunderland 1-0, 7 November lalu.

“Satu prestasi yang baik ketika berdepan pasukan lebih bagus seperti Arsenal, ia penghargaan besar buat pemain,” kata Koeman.

“Kami menyebabkan mereka berdepan banyak masalah terutama dalam mengawal Mane dan Long, ia satu prestasi yang sempurna daripada mereka.” – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA