Wenger belum ...

Wenger belum mahu bersara

LONDON, 12 Feb – Bos Arsenal, Arsene Wenger menjelaskan bahawa dia belum bersedia untuk menamatkan kerjayanya di pasukan tersebut meskipun Ian Wright mendakwa pengurus berpengalaman itu dalam perjalanan untuk meninggalkan kelab berkenaan.

Masa depan Wenger kini menjadi persoalan susulan kekalahan di tangan Watford dan Chelsea yang menyaksikan pintu buat kelab itu bagi merangkul gelaran liga perdana sudah tertutup.

Bagaimanapun, anak buah Wenger kembali menemui rentak kemenangan dengan Alexis Sanchez meledak dua gol bagi menewaskan Hull City di laman sendiri, malam tadi.

Selepas tamat perlawanan, pengendali dari Perancis itu diajukan soalan mengenai masa depannya dengan kontraknya bersama Arsenal akan tamat pada hujung musim ini.

Bekas penyerang Arsenal, Ian Wright mencetuskan kontroversi apabila mendakwa pengendali berusia 67 tahun itu memaklumkan kepada dirinya yang dia semakin hampir menamatkan tempoh 20 tahun sebagai pengurus The Gunners.

Wenger menegaskan dia belum berhasrat untuk meninggalkan pasukan yang selama ini dikendalikannya itu. - AFP
Wenger menegaskan dia belum berhasrat untuk meninggalkan pasukan yang selama ini dikendalikannya itu. – AFP

“Saya bersama bos malam tadi, dan jika saya mahu bersikap jujur, saya mendapat reaksi itu…itu saja,” kata Wright kepada radio BBC 5 secara langsung.

Bagaimanapun, Wenger menjawab dakwaan itu apabila menegaskan berlakunya salah faham dalam perbualan mereka dengan dia menjelaskan keletihannya adalah disebabkan komitmen kerja.

Ditanya adakah dia ada memberikan Wright reaksi untuk meninggalkan Arsenal, Wenger menjawab: “Tidak…tidak. Mark (Gonnella, Pengarah Komunikasi Arsenal) ada bersama saya ketika itu.

“Ia adalah sesi soal jawab. Saya mungkin letih kerana saya bangun awal pagi dan tamat kerja lewat malam, jadi saya penat. Namun, saya tidak memberi sebarang petunjuk mengenai masa depan saya.

“Ada ramai orang di sana. Kami (dia dan Wright) ada makan malam sebelum itu tetapi bukan kami berdua saja. Ada empat atau lima,” kata Wenger.

Ditanya sama ada Wright salah tafsir komennya: “Ya, kamu semua tahu saya sangat hargai apabila kamu mahu saya berehat. Namun, saya belum bersedia untuk itu,” katanya. – AFP