Wenger beri amaran

Wenger beri amaran

LONDON, 10 Ogos (AFP) – Arsene Wenger memberi amaran kepada bintang Arsenal yang berdepan kejutan malam tadi, betapa mereka perlu segera bangkit sekiranya tidak mahu tercicir dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Dilabel sebagai pencabar utama kejuaraan selepas memenangi Piala FA dan meraih Perisai Komuniti dengan membenam Chelsea sebelum ini, The Gunners tersembam selepas West Ham United membenam mereka, 2-0, di Stadium Emirates, malam tadi.

Dua jaringan menerusi Cheikhou Kouyate dan Mauro Zarate itu dikaitkan dengan kesilapan dilakukan penjaga gol baharu pasukan, Petr Cech yang dibeli daripada Chelsea sebelum ini.

Wenger mengakui keputusan mengejutkan itu, sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pra musim Arsenal, namun mahu barisannya segera bangkit apabila berkunjung ke Crystal Palace pada Ahad ini.

“Agak sukar untuk (pulih segera) tapi ia adalah asam garam bola sepak,” kata Wenger. “Kejayaan sesuatu pasukan itu, lazimnya dikaitkan dengan cara bagaimana mereka bertindak balas dengan kekalahan.

“Ia bukan satu tugas mudah tapi kami perlu respon segera kerana kami berdepan permulaan sukar. Namun Crystal Palace adalah pasukan bagus.”

ARTIKEL YANG SAMA