Wenger cabar Arsenal bangkit

Wenger cabar Arsenal bangkit

MANCHESTER, 1 Mac (AFP) – Arsene Wenger mencabar Arsenal bangkit dalam perlawanan penting minggu ini selepas menyaksikan pasukannya melepaskan peluang keemasan bagi merapatkan jurang di puncak Liga Perdana Inggeris apabila tewas 3-2 di Manchester United, malam tadi.

Arsenal yang memburu kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 12 tahun berjuang untuk kekal dua mata di belakang pendahulu Leicester City menjelang perlawanan menentang Swansea, Rabu ini dan kunjungan penting ke Tottenham pada Sabtu.

Tetapi kekalahan di Old Trafford kepada United yang sekali lagi menyaksikan dua gol daripada penyerang muda Marcus Rashford meninggalkan tanda tanya penting terhadap keupayaan Arsenal untuk merangkul kejuaraan.

“Pemain yang mengejutkan bagi saya adalah Rashford, masa dan pergerakannya sangat hebat. Dia boleh menjadi kejutan yang sangat positif untuk Manchester United.

“Kami bergelut untuk bangkit kerana mereka bertahan dengan baik dan saya akan menganalisis permainan sekali lagi untuk melihat puncanya.”

Dalam perkembangan lain, Arsenal sudah bersedia menyertai persaingan mendapatkan khidmat pemain sayap Leicester City, Riyad Mahrez pada musim panas ini.

Mahrez, 25, sudah menjaringkan 14 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat ini selain menghasilkan 10 gerakan untuk rakan sepasukan meledak gol sekali gus meletakkan Leicester di tangga teratas liga.

Menurut sumber, Arsenal sedang memantau perkembangan prestasi Mahrez dan sudah bersedia menawarkan kontrak kepada pemain antarabangsa Algeria itu andai dia mahu berpindah.

Mahrez menandatangani kontrak baharu bersama Leicester pada awal musim ini yang menyaksikan dia akan kekal bersama kelab itu sehingga 2019.

Bagaimanapun, The Foxes bersedia menimbangkan sebarang tawaran dari mana-mana kelab termasuk Manchester United, Barcelona dan Real Madrid yang dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain itu bersama kelab masing-masing.

Pengurus Leicester, Claudio Ranieri memaklumkan minggu lalu betapa dia akan membenarkan Mahrez meninggalkan Stadium King Power pada hujung musim ini andai ada permintaan untuk dia berpindah.