Wenger enggan buat rayuan kad merah Xhaka

Wenger enggan buat rayuan kad merah Xhaka

LONDON, 16 Okt – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger tidak akan membuat rayuan terhadap kad merah Granit Xhaka ketika The Gunners mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Swansea City, semalam.

Arkitek tengah itu mencetuskan kontroversi apabila dibuang padang 20 minit sebelum aksi di Stadium Emirates tamat, gara-gara terjahan lewat ke atas Modou Barrow.

Insiden itu memaksa pasukan utara London itu bertahan dengan 10 pemain untuk meraih kemenangan yang melonjakkan mereka terikat 19 mata bersama peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Walaupun percaya tindakan melayangkan kad merah kepada Xhaka sebagai terlalu keras, Wenger berkata dia enggan membuat rayuan di atas kesalahan itu.

“Tindakan membuang padang itu sangat keras,” kata Wenger. “Ia memang salah tetapi mungkin sepatutnya hanya dilayangkan kad kuning. Tetapi pengadil memilih untuk kad merah. Adakah saya akan membuat rayuan? Sudah pasti tidak.”

Reaksi Wenger ketika menyaksikan perlawanan antara pasukannya menentang Swansea City di Stadium Emirates di London kelmarin. – AP
Reaksi Wenger ketika menyaksikan perlawanan antara pasukannya menentang Swansea City di Stadium Emirates di London kelmarin. – AP

“Dia bukannya pemain yang gemar bermain kotor. Perlukah saya bercakap kepadanya? Tidak. Saya merasakan Barrow bijak mengambil kesempatan daripada insiden itu tetapi kita perlu menghormatinya.”

“Dia perlu belajar daripada kejadian ini. Apapun pemain saya berjaya mengekalkan fokus walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.”

Arsenal menguasai sepenuhnya perlawanan ketika mendahului 2-0 selepas Theo Walcott bijak menghidu kealpaan pertahanan lawan untuk meledak dua jaringan dalam tempoh tujuh minit sebelum Gylfi Sigurdsson merapatkan kedudukan buat Swansea.

Jaringan voli menakjubkan daripada Mesut Ozil kembali memberikan kelebihan selesa kepada Arsenal di babak kedua untuk hanya jaringan pemain Swansea, Borja Baston dan kad merah Xhaka menyebabkan tuan rumah cemas seketika sebelum berakhir perlawanan.

“Theo sepatutnya boleh mencetak hatrik dan malah mungkin empat gol. Tetapi dia menjaringkan dua gol dan kini menambah kepada enam (gol musim ini).” – AFP