Wenger enggan dipersalahkan

Wenger enggan dipersalahkan

LONDON, 30 Sept (AFP) – Arsene Wenger enggan dipersalahkan atas krisis yang melanda Arsenal dalam kempen Liga Juara-Juara selepas skuad The Gunners merekod kekalahan memalukan 3-2 kepada Olympiakos, di laman sendiri semalam.

Skuad bimbingan Wenger itu tidak pernah tewas dua perlawanan berturut-turut dalam kempen sama sebelum ini, namun kekalahan kepada Dinamo Zagreb sebelum dimalukan Olympiakos di Emirates, semalam menyaksikan kempen mereka dalam saingan elit Eropah kini kian goyah.

Keputusan pengurus kelahiran Perancis itu yang membuat perubahan drastik bagi kempen domestik dan Eropah dilihat menjadi punca utama kekalahan itu yang meninggalkan Arsenal di ambang bahaya gagal layak ke peringkat kalah mati buat pertama kali dalam tempoh 16 tahun.

Selepas melakukan enam perubahan yang membawa kepada kekalahan kepada Zagreb awal bulan ini, Wenger sekali lagi mencetus kontroversi apabila membuat lima penukaran ketika menanti kunjungan Olympiakos di London.

Wenger meninggalkan penjaga gol utama, Petr Cech di bangku simpanan dan menurunkan David Ospina dengan kesilapan mudah penjaga gol Colombia itu membawa kepada jaringan kedua Olympiakos.

Wenger (kanan) kelihatan sugul bersama-sama penolong pengurus Steve Bould (kiri) ketika menyaksikan perlawanan anak didik mereka pada Liga Juara-Juara di Stadium Emirates di utara London pada 29 September 2015. – AFP
Wenger (kanan) kelihatan sugul bersama-sama penolong pengurus Steve Bould (kiri) ketika menyaksikan perlawanan anak didik mereka pada Liga Juara-Juara di Stadium Emirates di utara London pada 29 September 2015. – AFP

Malah Wenger bertegas dengan keputusannya itu apabila ditanya sama ada dia kesal gagal menyenaraikan pasukan terkuatnya untuk perlawanan itu.

“Saya membuat keputusan, saya memilih pasukan dan saya bertanggungjawab dengannya. Saya tahu banyak perkara yang anda tidak tahu dan anda tidak hiraukan. Anda tidak boleh menyenaraikan pasukan dengan membuat undian sebelum perlawanan,” kata Wenger.

Ketika terus ditekan mengapa tidak menurunkan Cech, Wenger enggan untuk mengakui dia melakukan kesilapan.

“Saya tidak akan memberitahu anda kenapa. Saya tidak perlu duduk di sini dan memberikan anda segala penjelasan mengenai semua keputusan yang saya ambil. Cech menghadapi sedikit kecederaan sebelum perlawanan menentang Leicester dan saya tidak mahu membuat pertaruhan.

“Ospina bermain 19 perlawanan dan tidak melepaskan gol dalam banyak perlawanan. Pada minggu lalu ketika bertemu Tottenham, dia mengharungi permainan yang menakjubkan. Ia (Kesilapan) boleh berlaku kepada Cech juga,” katanya.

Lawan Arsenal selepas ini dalam kempen Liga Juara-Juara ialah pendahulu kumpulan, Bayern Munich namun Wenger berkata mereka boleh melakukan kejutan dengan menewaskan gergasi Jerman itu.

ARTIKEL YANG SAMA