Wenger gesa Arsenal bangkit

Wenger gesa Arsenal bangkit

LONDON, 9 Sept – Pertemuan Arsenal dengan Southampton malam esok bakal menjadi permulaan penting buat Gunners yang bakal menghadapi enam perlawanan dalam tempoh 18 hari untuk kembali bangkit memburu gelaran Liga Perdana.

Saingan liga bakal memasuki perlawanan keempat minggu ini tetapi Arsenal sudah ketinggalan lima mata di belakang Manchester City, Chelsea dan Manchester United selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan awal.

Walaupun pengurus Arsenal, Arsene Wenger jauh lebih berpengalaman untuk berasa bimbang mengenai carta kedudukan liga dalam saingan awal musim namun sedar dia perlu mula membentuk rentak untuk kekal menjadi pencabar utama kejuaraan.

Ini diikuti menjelang aksi bertemu Paris Saint Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, minggu depan.

Kunjungan Southampton memberi peluang kepada anak buah Wenger mencatat kemenangan pertama di laman sendiri selepas tewas kepada Liverpool pada aksi pembukaan liga di Stadium Emirates.

Wenger juga pasti lebih gembira jika penyerang Chile, Alexis Sanchez mampu membuktikan kualiti dimilikinya selepas dia bersedia untuk dibandingkan dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

“Saya sudah mencapai tahap yang mana saya boleh bersaing dengan pemain hebat yang lain. Saya tidak berasa rendah diri terhadap sesiapa pun.

“Saya samakan kualiti saya dengan Messi dan Ronaldo, saya mempunyai kemampuan yang sama seperti mereka,” kata Sanchez.

ARTIKEL YANG SAMA