Wenger harap Arsenal lebih yakin

Wenger harap Arsenal lebih yakin

LONDON, 16 Sept – Arsene Wenger pasti mengharapkan Arsenal menunjukkan isyarat lebih meyakinkan dalam kemampuan mereka bersaing merebut gelaran Liga Perdana dengan kunjungan ke Hull City, esok.

Seri 1-1 di Paris Saint-Germain menyaksikan skuad The Gunners berjaya mengelak daripada kekalahan dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara walaupun Olivier Giroud dilayangkan kad merah.

Arsenal masih belum berada pada prestasi terbaik musim ini, walaupun pemain seperti Shkodran Mustafi dan Lucas Perez masih belum menggegar bersama kelab baharu mereka.

Terdapat asas kukuh mereka masih belum menemui rentak. Kegagalan untuk mengumpul tiga mata di Hull akan mengesahkan pandangan bahawa Arsenal berada dalam bahaya hilang seri untuk menandingi semula pasangan Manchester City dan United.

Bagaimanapun, Mustafi meletakkan kepercayaan tinggi kepada Alexis Sanchez yang dilihat memberi kelebihan kepada Arsenal di bahagian serangan.

Wenger memberikan arahan kepada para pemainnya dalam aksi Liga Juara-Juara menentang PSG di Parc des Princes pada 13 September lalu. – AFP
Wenger memberikan arahan kepada para pemainnya dalam aksi Liga Juara-Juara menentang PSG di Parc des Princes pada 13 September lalu. – AFP

“Saya fikir dalam bola sepak hari ini, bola sepak moden, ia tidak statik dan itulah yang membuatkan permainan begitu pantas dan sukar,” kata pemain antarabangsa Jerman, Mustafi.

“Jika anda seorang pemain pertahanan, anda perlu berlari di seluruh padang untuk mengejar penyerang dan ia sentiasa sukar.

“Saya rasa kita semua tahu Alexis mempunyai kualiti dan dia tahu di mana perlu berada bagi memberikan lawan satu permainan yang sukar. Anda perlu memberi kredit untuk itu.”

Hull masih berbincang mengenai pengambilalihan dengan bakal pemilik baru kelab itu yang dikatakan berminat untuk melantik Mike Phelan sebagai pengurus secara tetap.

Ahli perniagaan Cina-Amerika Chien Lee itu dalam perbincangan terakhir untuk pembelian yang dicadangkan bernilai sekitar 100 juta pound (AS$132 juta), yang akan mengakhiri zaman pasang surut enam tahun kelab di bawah Assem Allam dan anaknya, Ehab.

Lee, yang telah tinggal di AS selama 30 tahun dan merupakan pengasas dan Ketua Eksekutif firma ekuiti swasta Newcity Capital, berada di Humberside minggu ini untuk melawat kemudahan di Hull.

Beliau berharap untuk melengkapkan persetujuan yang gagal dicapai oleh kumpulan pelabur di China dan Hong Kong.

Lee adalah pemilik bersama kelab Perancis Ligue 1 Nice bersama rakan kongsi perniagaan AS Paul Conway dan Eliott Hayes serta sekutunya warga Cina Alex Zheng. Ketiga-tiga lelaki juga terlibat dalam cadangan pembelian Tiger. – AFP