Wenger hormati hak penyokong tunjuk protes

Wenger hormati hak penyokong tunjuk protes

pg21_160502_c

LONDON, 1 Mei (AFP) – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger (gambar) sedar kemarahan penyokong yang melakukan protes terhadap dirinya ketika pasukan dari utara London itu meraih kemenangan 1-0 ke atas Norwich City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Dalam protes yang seperti sudah dirancang di Stadium Emirates itu, sesetengah penyokong mengangkat poster bersaiz A4 yang bertulis ‘masa untuk perubahan’ ketika perlawanan berada pada minit ke-12 dan 78 sebagai tanda protes selepas Arsenal gagal meraih gelaran liga sejak 12 tahun lalu.

Namun sebagai tindak balas terhadap protes itu, ribuan penyokong yang melaungkan ‘hanya ada satu Arsene Wenger!’, dan ada antaranya memegang sepanduk sebagai tanda sokongan penuh terhadap pengendali berkenaan.

“Kami menghormati pandangan setiap orang dan kami memberikan hanya yang terbaik,” kata Wenger selepas perlawanan yang menyaksikan pemain gantian Danny Welbeck menjaringkan gol tunggal itu pada minit ke-59.

“Saya fikir saya sudah menunjukkan komitmen dan kesungguhan terhadap kelab ini dan juga penyokong. Saya memohon maaf sekiranya saya tidak membuat mereka gembira. Kami akan terus berusaha untuk mencapai apa yang dikehendaki.”

Dengan Chelsea, Manchester United dan Liverpool, Semuanya bergelut dengan prestasi dan Manchester City pula berdepan masalah tidak konsisten, musim ini adalah peluang terbaik Arsenal untuk menamatkan penantian tanpa gelaran Liga Perdana Inggeris.

Namun, seperti yang lain juga, mereka ditinggalkan di belakang calon juara, Leicester City dan kini bergelut untuk memastikan penamat dalam kelompok empat terbaik bagi melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara.

Bercakap sebelum perlawanan berkenaan, Wenger berkata, “Saya dapat memahami kekecewaan penyokong kami. Namun di sebalik itu, mereka juga harus terus menyokong pasukan. Apa yang terbaik ialah mereka terus berada di belakang pasukan.”

Wenger, 66, yang mula memegang jawatan pengurus di Arsenal pada tahun 1996, pernah mengemudi kelab untuk meraih tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan empat Piala FA dalam sembilan tahun pertamanya menguruskan pasukan.

ARTIKEL YANG SAMA