Wenger: Jangan hilang sabar

Wenger: Jangan hilang sabar

LONDON, 23 Sept (AFP) – Arsene Wenger memberi amaran kepada pemain Arsenal yang ‘cepat panas’ supaya jangan hilang pertimbangan ketika bertemu satu lagi kelab tetangga London, Tottenham Hotspurs pada pusingan tiga Piala Liga, awal pagi Khamis ini.

Skuad bimbingan Wenger akan membuat kunjungan ke White Hart Lane bagi pertembungan tetangga kedua musim ini selepas mengharungi dua kekalahan berturut-turut termasuk kepada Chelsea, Sabtu lalu.

Penyerang Perancis, Olivier Giroud diarahkan keluar padang ketika pertembungan Liga Juara-Juara menentang Dinamo Zagreb manakala pertahanan Brazil, Gabriel dan pemain tengah Sepanyol, Santi Cazorla diarah keluar padang ketika kekalahan 2-0 kepada Chelsea dalam aksi liga. Wenger menyalahkan sikap penyerang Chelsea, Diego Costa terhadap tindakan yang dikenakan kepada Gabriel namun pemainnya itu turut didakwa atas kelakuan tidak wajar ketika diarah keluar padang.

“Benar kami bermain dua perlawanan terakhir dengan 10 pemain bermula babak kedua dan saya berharap kami bermain pada perlawanan selepas ini dengan 11 pemain menentang 11 pemain,” kata Wenger yang sedar pemainnya perlu pandai mengawal emosi sekalipun mendapat provokasi. “Begitu pun, ia sekali lagi perlawanan tetangga dan ia bukan jaminan.” Sekalipun kebanyakan kelab-kelab ternama sekadar menyenaraikan barisan kedua untuk pertembungan Piala Liga, Wenger tetap meletakkannya sebagai keutamaan dengan menurunkan pemain berpengalaman.

Pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey menegaskan dia bersedia untuk melupakan insiden yang berlaku bagi membantu The Gunners melakar kejayaan.