Wenger, Jose Mourinho bersua lagi di Old Trafford

Wenger, Jose Mourinho bersua lagi di Old Trafford

LONDON, 18 Nov – Babak seterusnya sejarah persaingan pengurusan yang paling tidak menentu dalam Liga Perdana Inggeris akan ditulis lagi hujung minggu ini apabila Arsenal Arsene Wenger melawat Manchester United Jose Mourinho di Old Trafford.

Kekecohan sering terjadi apabila pasangan itu berkongsi kawasan tepi padang sehingga mencetuskan aksi tolak-menolak antara satu sama lain semasa Chelsea bertemu Arsenal di Stamford Bridge dua tahun lalu.

Wenger belum pernah menewaskan Mourinho dalam perlawanan liga sehingga dilabelkan oleh musuhnya itu sebagai ‘pakar kegagalan’ tetapi dengan Arsenal enam mata di depan United, Wenger kini mempunyai kelebihan.

“Anda tahu, kami tidaklah selalu kalah,” kata Wenger ketika ditanya mengenai rekod menentang Mourinho pada Khamis.

“Kami telah mengalahkan mereka dan banyak juga seri. Saya rasa saya telah mengalahkan setiap pengurus di dunia sepanjang 20 tahun saya di sini dan saya tidak menyifatkan permainan ini sebagai pertandingan antara dua pengurus.

Beberapa saat sebelum insiden tolak-menolak Arsene Wenger dan Jose Mourinho yang terkenal di Old Trafford pada tahun 2014. – AFP
Beberapa saat sebelum insiden tolak-menolak Arsene Wenger dan Jose Mourinho yang terkenal di Old Trafford pada tahun 2014. – AFP

“Permainan ini adalah persaingan antara dua kelab dan dua pasukan. Saya boleh memahami bahawa orang mahu mencipta kontroversi, tetapi itu bukan apa yang penonton ingin saksikan.

“Saya fikir penting memikirkannya sebagai satu permainan peringkat tertinggi kerana ia akan ditonton di seluruh dunia dan untuk reputasi Liga Perdana, adalah penting kualiti permainan juga bagus.”

Wenger berhasrat untuk mengetahui kecergasan Alexis Sanchez pada saat akhir hari ini yang belum melaporkan diri selepas tugasan antarabangsa bersama Chile selasa lalu.

Sanchez menjaringkan dua gol untuk Chile dalam kemenangan 3-1 kelayakan Piala Dunia ke atas Uruguay walaupun Wenger memberi amaran terlebih dahulu bahawa jika beliau turun dengan masalah hamstring sebelum ini, ia akan menjadi ‘misi bunuh diri’.

Arsenal sudah pasti tanpa bek kanan Hector Bellerin dan midfield Santi Cazorla, yang masing-masing mengalami kecederaan buku lali dan tendon Achilles.

Tetapi masalah pemilihan Wenger tidak berapa tenat berbanding Mourinho yang dilaporkan mungkin kehilangan sehingga tujuh pemain dalam pasukan utama.

Bek tengah Eric Bailly dan Chris Smalling sudah pasti terlepas perlawanan kerana kecederaan dan penjaring terbanyak Zlatan Ibrahimovic pula menjalani penggantungan.

Kapten Wayne Rooney, midfield Marouane Fellaini dan bek Antonio Valencia dan Luke Shaw juga diragui kecergasan untuk perlawanan hujung minggu ini.

Dengan perlawanan Sabtu ini akan berlangsung pada waktu makan tengahari, kemenangan Arsenal pasti melonjakkan pasukan Wenger ke puncak liga dan meninggalkan United sembilan mata di belakang.

Pemimpin liga Liverpool pula diramal akan meneruskan momentum sebelum rehat perlawanan antarabangsa dengan kunjungan ke Southampton lewat Sabtu.

Pasukan Jurgen Klopp yang begitu disenangi penonton telah menang tujuh, seri dua kali daripada sembilan perlawanan liga dan memuncak selepas membelasah Watford 6-1 dalam aksi terakhir mereka.

Adam Lallana mungkin tidak dapat menyertai Liverpool selepas mengalami kecederaan pangkal paha semasa seri 2-2 dalam aksi persahabatan England dan Sepanyol Selasa lalu, di mana beliau menjaringkan gol.

Tetapi Klopp berharap Philippe Coutinho dan Roberto Firmino mampu beraksi dengan baik selepas kembali daripada tugasan antarabangsa bersama Brazil.

“Para pemain Brazil kembali malam tadi,” kata Klopp kelmarin. “Kami cuba apa saja untuk menjadikan mereka berada pada tahap paling selesa sebelum beraksi tetapi saya belum lagi melihat atau bercakap dengan mereka kerana saya harap mereka tidur dengan segera untuk mengembalikan kecergasan.”

Chelsea Antonio Conte yang hanya satu mata di belakang Liverpool di tempat kedua, melawat Middlesbrough pada Ahad, manakala Manchester City Pep Guardiola, satu mata di belakang Chelsea di tempat ketiga, akan berkunjung ke Crystal Palace.

City hanya memenangi satu daripada lima perlawanan liga terakhir mereka dan terlepas peluang mengungguli liga sebelum rehat aksi antarabangsa selepas seri 1-1 dengan Middlesbrough. Bek kanan Bacary Sagna, yang kembali cergas selepas koyak hamstring, mengakui kekalahan itu menjadi saat yang amat mengecewakan.

“Pasukan bermain dengan baik. Jika anda melihat kembali cara kami bermain, ia amat menakjubkan,” kata pemain antarabangsa Perancis memberitahu laman web City.

“Kami tidak cukup klinikal untuk memenangi permainan menentang Middlesbrough. Saya masih tidak faham bagaimana kami tidak memenangi permainan itu.”

Enam mata dari zon selamat ada Sunderland dan Swansea City yang sudah maklum dengan bahaya menghuni tangga tercorot liga.

Kelab tercorot Sunderland pula akan menjadi tuan rumah kepada kelab ketiga tercorot Hull City Sabtu ini, manakala ketua jurulatih baru Swansea Bob Bradley pula berusaha untuk mencari kemenangan pertama di Everton. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA