Wenger mahu terus fokus ke hadapan

Wenger mahu terus fokus ke hadapan

LONDON, 14 Okt – Arsene Wenger (gambar) akan tampil untuk menghapuskan memori kekalahan mengejut di tangan Swansea yang merencatkan harapan Arsenal untuk memenangi gelaran Liga Perdana musim lalu.

Kekalahan mengecewakan 2-1 di Stadium Emirates pada Mac menamatkan harapan Arsenal untuk mengejar Leicester.

Kini ketika dia menyiapkan Arsenal berdepan Swansea yang diuruskan buat pertama kali oleh pengendali dari Amerika Syarikat, Bob Bradley, bos Gunners itu mahu melihat skuadnya membuktikan sejauh mana mereka sudah pergi sejak kekalahan menyakitkan itu, dengan penyokong memintanya meletakkan jawatan.

“Tahun lalu kami berdepan pengalaman negatif dengan Swansea yang membunuh peluang kami memenangi Liga Perdana,” kata Wenger dengan skuadnya hanya tewas sekali dalam liga sepanjang 17 perlawanan selepas itu.

“Kami mesti menunjukkan kami boleh berdepan jadual sebegini ketika kami adalah pasukan pilihan. Kami tidak boleh sentiasa lakukan perkara itu musim lalu dan kami mahu menunjukkan bahawa kami sudah banyak meningkat.

Dalam pada itu, Wenger juga menegaskan dia tidak akan memainkan peranan secara terus bagi melantik pengurus baharu di Arsenal sejurus tempohnya selaku pengendali kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berakhir.

Pengurus veteran kelahiran Perancis itu yang akan meraikan hari lahirnya ke-67, minggu depan selepas meraikan majlis ulang tahun ke-20 sebagai pengurus Arsenal, awal bulan ini.

Kontrak Wenger dijadualkan berakhir pada penghujung musim ini dan wujud spekulasi dia akan menjadi pengurus England – peranan yang dikatakan akan menarik minatnya, “jika saya bebas satu hari nanti.”

Begitupun, Wenger jelas amat setia dengan Arsenal dan berkemungkinan akan menandatangani kontrak baharu dengan kelab dari London itu. Wenger begitupun menegaskan apa juga yang berlaku, dia tidak berminat untuk memilih penggantinya namun akan memberikan pandangan jika diminta oleh lembaga pengarah kelab itu.

“Saya fikir ia amat penting di dalam kelab ini yang semua orang tahu untuk apa dia dibayar,” kata Wenger kepada beIN Sports.

“Tugas saya adalah untuk menjadi pengurus kelab dan bertanggungjawab dengan gaya permainan dan juga polisi kelab.

Tanggungjawab lembaga pengarah adalah untuk memilih pengurus selepas ini, jadi ia bukan kerja saya.

“Jika mereka meminta pendapat saya, saya akan memberikan yang paling jujur, namun pastinya bukan saya yang akan memilih. Saya tidak berada di posisi mereka, saya di posisi saya.” – AFP