Wenger pertahan Cech

Wenger pertahan Cech

LONDON, 11 Ogos – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger enggan menyalahkan penjaga gol Petr Cech atau persembahan mana-mana pemain individu selepas pasukannya tewas mengejut 0-2 kepada West Ham pada aksi pertama musim Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Kehadiran Cech selepas 11 tahun bersama Chelsea disambut baik penyokong yang menyanjungnya sebagai faktor yang boleh membantu buruan kejuaraan Liga Perdana pertama Arsenal sejak 2004.

Namun pemain kebangsaan Czech itu tidak berada pada prestasi terbaiknya di Emirates, gagal menangani sepakan percuma Dimitri Payet yang menjurus kepada tandukan gol Cheikhou Kouyate sebelum tewas kali kedua menerusi rembatan leret Mauro Zarate.

“Saya belum bercakap dengannya (Cech),” kata Wenger. “Saya tidak lihat mana-mana pemain bertindak cemerlang hari ini jadi sukar untuk menyalahkan sesiapa.

“Ia persembahan secara kolektif. Saya fikir banyak perkara yang boleh diperkatakan. Saya sedar jika sepakannya bagus, kami akan berdepan masalah sebelum sepakan percuma itu diambil lagi.

Penjaga gol West Ham Adrian (kanan) berjabat tangan dengan Petr Cech selepas aksi Liga Perdana di Stadium Emirates selesai kelmarin. – AFP
Penjaga gol West Ham Adrian (kanan) berjabat tangan dengan Petr Cech selepas aksi Liga Perdana di Stadium Emirates selesai kelmarin. – AFP

“Kami cukup pengalaman di benteng pertahanan. Jika anda lihat pemain pertahanan kami, saya fikir paling muda berusia 30 tahun.”

Gunners berharap mampu bermula cemerlang dan membuktikan mereka pencabar utama merampas kejuaraan dimenangi Chelsea.

Menentang West Ham yang tersusun di bawah kendalian Slaven Bilic, Arsenal bagaimanapun gagal bertindak baik dan Wenger kecewa dengan cara pemainnya menangani situasi itu.

“Saya fikir persembahan kami tidak mengagumkan,” kata pengendali Perancis itu. “Saya berasakan kami agak gemuruh dan bertindak terburu-buru. “Saya tidak anggap kami terlalu yakin, mungkin mereka terlalu gemuruh.” – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA