Wenger puji permainan Ozil

Wenger puji permainan Ozil

LONDON, 23 Dis (AFP) – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyanjung Mesut Ozil selepas perancang Jerman itu bangkit daripada masalah kecederaan untuk membatu pasukannya mencatat kemenangan ke atas pencabar terdekat mereka dalam Liga Perdana Inggeris, Manchester City kelmarin.

Ozil menjadi watak utama dengan membantu Theo Walcott dan Olivier Giroud menjaringkan gol ketika mereka menang 2-1 ke atas City di Stadium Emirates, sekali gus membolehkan Arsenal menghampiri pendahulu liga Leicester City dengan beza dua mata di belakang.

City merapatkan kedudukan apabila Yaya Toure menyumbat masuk bola menerusi sepakan lambung yang gagal dibaca Peter Cech, namun hasrat mereka untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan seri gagal setelah pengadil meniup wisel penamat.

Sehingga kini, Ozil, 27, mencatatkan 15 bantuan dalam kempen liga, kurang tiga daripada Cesc Fabregas selaku pembantu terbanyak musim lepas.

Dalam pada itu, Wenger mendedahkan Ozil telah menghabiskan sebahagian besar minggu sebelumnya di atas katil.

Wenger (kiri) menyanjung Ozil (tengah) selepas perancang Jerman itu bangkit daripada masalah kecederaan untuk membatu pasukannya mengatasi Manchester City kelmarin. – Reuters
Wenger (kiri) menyanjung Ozil (tengah) selepas perancang Jerman itu bangkit daripada masalah kecederaan untuk membatu pasukannya mengatasi Manchester City kelmarin. – Reuters

“Sebenarnya, dia banyak terlantar di atas katil selepas mengalami masalah di dada. Mesut hanya menjalani satu sesi latihan sahaja semalam (kelmarin).

“Jadi, walaupun belum bersedia sepenuhnya dia mampu menjalankan tugas dengan baik secara fizikal,” kata Wenger.

Di sebalik peranan Ozil dalam membuat gerakan ke arah gawang, jaringan Walcott sebenarnya adalah hasil kerja sendiri apabila penyerang England itu memintas ke dalam dari sebelah kiri dan melepaskan rembatan lencong kaki kanan ke penjuru gawang dari jarak 18 meter.

Tetapi peranan Ozil membantu jaringan Giroud pada penghujung babak pertama adalah jelas. Dengan gerakannya yang berseni, bekas bintang Real Madrid itu membuat hantaran ke laluan Giroud, yang kemudiannya melepaskan sepakan rendah ke celah kaki Joe Hart.

“Satu hari nanti anda memerlukan seseorang yang memberikan bola kepada seseorang yang menjaringkan gol.

“Dalam pasukan kami, kebanyakannya dilakukan oleh Mesut. Seseorang yang membantu pa­sukan untuk menang dan dialah orangnya,” ujar Wenger.

Wenger turut mendedahkan bahawa Alexis Sanchez menerima khabar buruk dalam rawatannya untuk pulih daripada kecederaan hamstring dan penyerang itu berkemungkinan akan direhatkan selama tiga minggu lagi.

ARTIKEL YANG SAMA