Wenger selesa di Arsenal

Wenger selesa di Arsenal

PARIS, 13 Sept – Pengurus pasukan Arsenal, Arsene Wenger berkata dia masih memiliki kepercayaan penuh terhadap kelab itu walaupun menerima tawaran daripada pemilik kaya pasukan Paris Saint-Germain, di Qatar.

Alasan utama di sebalik kendalian pengurus dari Perancis itu selama 20 tahun di utara London adalah disebabkan cintanya terhadap pasukan Gunners.

“Mengapa saya tidak katakan ya (kepada PSG)? Kerana saya suka di mana saya berada,” kata Wenger menjelang persaingan Liga Juara–juara awal pagi esok di antara PSG dan Arsenal dalam Kumpulan A di Parc des Princes.

Akhbar L’Equipe semalam melaporkan bahawa PSG telah membuat tiga pendekatan terhadap Wenger sejak Qatar Sports Investments mengambil alih kelab itu pada 2011.

“Saya mengenali pemilik itu, tetapi saya selalu merasakan saya masih taat kepada Kelab Bola Sepak Arsenal kerana saya rasa ia adalah kelab yang memiliki kualiti yang saya sukai,” kata Wenger.

Arsene Wenger ketika sesi sidang media menjelang perlawanan pembukaan Liga Juara-juara. – AFP
Arsene Wenger ketika sesi sidang media menjelang perlawanan pembukaan Liga Juara-juara. – AFP

Wenger memulakan kempen ke-19 berturut–turut dalam persaingan Eropah paling berprestij. Tetapi Arsenal belum pernah memenangi hadiah besar Eropah, tewas kepada Barcelona pada 2006, dan Gunners bersedia untuk melalui kelompok 16 buat kali pertama sejak 2010.

Kontrak Wenger bersama Arsenal mansuh pada akhir musim, tetapi dia berkata keadaannya tidak meletakkannya di bawah tekanan tambahan untuk memenangi gelaran Liga Juara-juara.

“Saya menumpukan ke atas perlawanan seterusnya. Saya tidak rasa seperti itu,” kata Wenger, apabila ditanya jika motivasinya lebih besar dengan kedudukan kontraknya. “Saya rasa saya telah membimbing lebih dari 170 perlawanan dalam Liga Juara-juara dan ia setiap masa sama: anda mahu melakukan lebih baik pada perlawanan seterusnya. Kes peribadi saya tidak terjejas sama sekali.”

Wenger mengakui pasukannya “secara fizikal” belum bersedia seperti yang diharapkan untuk bertemu juara bertahan empat kali Perancis. Tetapi dia menambah bahawa pengalaman tambahan yang dibawa oleh pemain yang baru ditandatangani, Granit Xhaka, Skhodran Mustafi dan Lucas Perez membantu skuadnya bertukar menjadi pasukan yang lebih matang.

“Skuad itu pada asasnya (berusia) 24 dan 30 tahun,” kata Wenger. “Di sana anda mempunyai gandingan yang bagus daripada segi kekuatan fizikal dan pengalaman. Tetapi kami masih mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain muda dan mengekalkan gandingan itu.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA