Wenger semakin bersemangat

Wenger semakin bersemangat

LONDON, 15 Feb – Pengendali Arsenal Arsene Wenger mengakui harapan untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris pasti sukar sekiranya mereka tidak menewaskan pendahulu, Leicester City semalam.

Arsenal bangkit meledak dua gol selepas penalti James Vardy meletakkan Leicester di depan pada babak pertama permainan di Stadium Emirates.

Ketika jurang dengan pendahulu itu melebar kepada lapan mata, pemain gantian Theo Walcott dan Danny Welbeck meledak gol untuk kemenangan 2-1 selepas Leicester kehilangan seorang pemain, Danny Simpson yang dibuang padang. Skuad kendalian Wenger kini hanya dua mata di belakang pendahulu dan harapan untuk merangkul kejuaraan liga pertama sejak tahun 2004 terus menyala.

“Kekalahan hari ini (semalam) akan memberi kesan besar,” kata Wenger selepas perlawanan. “Selepas itu anda akan dikritik dan kepercayaan mula hilang.

“Ia pasti akan menjadi lebih sukar. Kami tidak akan berputus asa, tetapi lapan mata memerlukan tiga kemenangan, dan mengharapkan mereka tewas tiga perlawanan.” Welbeck menanduk masuk bola pada minit ke-95 – aksi pertamanya selepas rehat 10 bulan akibat kecederaan dan menjadi persediaan terbaik buat Arsenal sebelum bertemu Hull City dalam saingan Piala FA serta juara bertahan Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara.

Arsene Wenger ketika memasukkan Danny Welbeck ke padang pada separuh masa kedua. – Reuters
Arsene Wenger ketika memasukkan Danny Welbeck ke padang pada separuh masa kedua. – Reuters

Arsenal akan kembali menyambung misi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris bertemu Manchester United pada 28 Februari.

Mereka juga perlu bertandang ke laman penghuni tangga kedua, Tottenham Hotspur dan Manchester City di tangga keempat menjelang minggu-minggu terakhir kejohanan.

“Saya akan terus menanam keyakinan yang kami mampu bersaing untuk kejuaraan,” kata pengendali dari Perancis itu. Kami masih berpeluang dan akan terus berjuang.”

Sementara itu pengendali Leicester, Claudio Ranieri mengulas kekalahan anak buahnya dengan berkata: “Saya mempunyai impian, tetapi saya tidak akan beritahu anda impian saya.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA