West Brom kecundang, Brunt dibaling syiling

West Brom kecundang, Brunt dibaling syiling

LONDON, 21 Feb (Reuters) – Pertahanan West Bromwich Albion, Chris Brunt dibaling dengan duit syiling oleh penyokong kelabnya sendiri selepas kekalahan mengejutkan di tangan Reading pada pusingan kelima Piala FA semalam.

Selepas perlawanan, Brunt menuju ke arah penyokong untuk menghargai sokongan mereka walaupun pasukan tewas 3-1, tetapi terpaksa menanggung kekecewaan kerana segelintir penyokong membalingnya dengan duit syiling hingga terkena mukanya.

Pemain Ireland Utara itu terjatuh sambil menekup mukanya dan kemudian bangun untuk berdepan dengan kumpulan penyokong berkenaan, tetapi ditarik oleh Darren Fletcher.

Pemain 31 tahun itu mengutuk tindakan penyokong yang melontar syiling ke arahnya.

“Mereka fikir tidak salah untuk melontar syiling ke arah pemain. Saya rasa jijik (dengan tindakan itu),” kata Brunt.

Brunt bertindak balas selepas penyokongnya melemparkan duit syiling kepadanya. – Reuters
Brunt bertindak balas selepas penyokongnya melemparkan duit syiling kepadanya. – Reuters

“Jika mereka mahu berdepan dengan saya dan berkata mereka tidak suka apa yang mereka lihat, itu tidak mengapa. Penyokong kecewa kerana kami 1-0 di depan tetapi tewas.

“Mereka menghabiskan duit yang banyak untuk datang, tetapi sekumpulan kecil menjadi pengacau. Ada kanak-kanak di situ. Saya rasa jijik dan malu.”

Brunt mengutip syiling yang hampir mengenai matanya sebagai bukti. “Saya masih menyimpan syiling itu. Saya melihat seorang gadis di barisan depan dan ingin memberikan jersi saya.

“Tidak ada alasan untuk perbuatan itu dan tiada tempat dalam bola sepak. Saya sudah lama di sini dan suka sepanjang tempoh saya di sini, ini kali pertama saya dimalukan oleh penyokong sendiri,” katanya. Pengendali Albion, Tony Pulis meminta pihak polis untuk mencari pelaku berkenaan, sambil menyatakan kebimbangannya terhadap pengaruh media sosial yang menjadikan penyokong beremosi lalu melepaskannya apabila pasukan mereka gagal.

“Kita baru saja melihat insiden di mana pemain yang sudah beraksi lebih 300 perlawanan untuk kelab hampir kehilangan matanya,” kata Polis.

“Lukanya begitu hampir dengan mata, kurang seinci mengenai matanya. Jika terkena ia satu masalah yang cukup serius.

“Ini adalah kelakuan melampau dan tidak boleh diterima. West Bromwich Albion adalah kelab bola sepak hebat, ternama, tetapi anda tidak boleh membiarkannya berlaku.

“Saya rasa pihak polis perlu bertindak. Ia tidak boleh dibiarkan berlalu begitu saja. Ini adalah kelakuan jenayah. Ia perkara paling buruk pernah saya lihat.

“Media sosial menanam sikap bencikan pasukan jika keadaan tidak seperti diharapkan di kelab mereka. Kita perlu berhati-hati dengan situasi ini.”

ARTIKEL YANG SAMA