West Ham baham Liverpool 2-0

West Ham baham Liverpool 2-0

LONDON, 3 Jan (Agensi) – Penyerang West Ham Andy Carroll menjaringkan gol menentang bekas kelabnya apabila pasukannya menewaskan Liverpool 2-0 semalam di tempat sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Caroll, kekal pemain termahal yang pernah dibelii oleh Liverpool, menerajui barisan serangan secara cemerlang buat West Ham dalam perlawanan Liga Perdananya yang ke-150, berbanding Benteke yang kelihatan hambar di pasukan lawan.

Pemain sayap Michail Antonio membuka jaringan dalam dua perlawanan berturut-turut untuk membawa West Ham di depan pada minit ke-10 di Upton Park, menanduk bola masuk hasil hantaran daripada Enner Valencia.

Mark Noble kemudian memberi umpanan cantik kepada Carroll untuk menanduk bola kencang masuk ke gawang pada minit ke-55, menggandakan pendahuluan buat West Ham. Ia merupakan gol kedua dalam dua perlawanan buat Carroll, yang menyertai Liverpool pada 2011 dari Newcastle dengan bayaran 35 juta pound (AS$56 juta ketika itu) dan dipinjamkan ke West Ham pada 2012 sebelum menyertai secara tetap kelab London itu pada 2013.

Andy Carroll ketika menanduk bola masuk ke gawang Liverpool. – Reuters
Andy Carroll ketika menanduk bola masuk ke gawang Liverpool. – Reuters

“Keseluruhan pasukan sangat bagus, dan Andy Carroll begitu cemerlang bukan sahaja terhadap gol itu, tetapi juga dengan prestasi keseluruhannya, pertahanan, mengawal bola,” kata pengurus West Ham Slaven Bilic.

Liverpool cuba untuk mengejar semula dalam perlawanan, apabila ledakan Emre Can terkena palang sebelum tamat separuh masa.

Walaupun kehilangan perancang Argentina Manuel Lanzini akibat kecederaan pada separuh masa pertama, pihak tuan rumah kemudian dirangsang dengan kembalinya bintang Perancis Dimitri Payet pada minit ke-64 buat pertama kali sejak mengalami kecederaan buku lali pada November lepas.

Liverpool terus menggasak perlawanan hingga ke akhir permainan, namun segala serangan berjaya dihalang oleh pemain-pemain pertahanan tuan rumah.

“Ia belum mencukupi, kerana pada saat-saat penentu kami tidak memberikan 100 peratus,” kata pengurus Liverpool Jurgen Klopp.

Dengan sasaran untuk ke kejohanan Eropah, West Ham kini memperoleh 32 mata dan tanpa kalah dalam tujuh perlawanan, Liverpool pula kekal dengan 30 mata.