WhatsApp catat 1 bilion pengguna

WhatsApp catat 1 bilion pengguna

SAN FRANCISCO, 2 Feb – Perkhidmatan pesanan telefon pintar milik Facebook WhatsApp telah mencecah jumlah pengguna satu bilion, menurut ketua dan pengasas bersama rangkaian sosial terkenal Mark Zuckerberg.

“Satu bilion orang kini menggunakan WhatsApp,” kata Zuckerberg dalam satu artikel di laman Facebooknya.

“Hanya terdapat beberapa perkhidmatan yang menghubungkan lebih daripada satu bilion orang.”

Perkhidmatan e-mel percuma Google, Gmail, adalah tawaran syarikat Internet terbaru yang mencecah jumlah satu bilion pengguna, kata ketua Sundar Pichai semalam ketika satu persidangan mengenai pendapatan.

Jumlah orang yang menggunakan WhatsApp telah bertambah dua kali ganda sejak Facebook yang berpangkalan di California itu membeli perkhidmatan dengan harga AS$19 bilion pada akhir 2014, menurut Zuckerberg.

Pengguna WhatsApp kini mencecah 1 bilion pengguna di seluruh dunia. – Reuters
Pengguna WhatsApp kini mencecah 1 bilion pengguna di seluruh dunia. – Reuters

“Ia hampir satu-dalam-tujuh orang di Bumi yang menggunakan WhatsApp setiap bulan untuk berhubung dengan orang kesayangan mereka, kawan dan keluarga mereka,” kata kumpulan WhatsApp dalam blog.

Selepas membeli WhatsApp, Facebook menjadikan perkhidmatan itu percuma. Langkah seterusnya, menurut Zuckerberg, adalah menjadikannya lebih mudah untuk menggunakan perkhidmatan untuk berkomunikasi dengan perniagaan.

Menjalin WhatsApp dalam perhubungan di antara perniagaan dan pelanggan berpotensi mewujudkan peluang pendapatan untuk Facebook.

Laporan media terbaru telah menunjukkan Facebook sedang berusaha di balik tabir untuk menyatupadukan WhatsApp dengan lebih selesa dalam rangkaian sosial terkenal di dunia dengan menyediakan keupayaan untuk berkongsi maklumat antara perkhidmatan. – AFP