WHO dalam tekanan tangani virus Zika

WHO dalam tekanan tangani virus Zika

GENEVA, 28 Jan – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) didesak mencari langkah segera menangani jangkitan virus Zika, yang dikaitkan dengan ribuan kecacatan kelahiran di Brazil. Virus itu dipercayai dibawa sejenis nyamuk dikenali Aedes aegypti, yang hidup di negara tropika.

Agensi itu dijadual mengadakan sesi khas hari ini membabitkan virus yang dikatakan merebak melalui Amerika Latin dan Caribbean.

Ketua Pengarahnya, Margaret Chan, akan mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif agensi itu berhubung perkara itu di Geneva. Amerika Syarikat berkata, ia akan menyekat orang ramai yang pernah berada di wilayah yang terjejas oleh virus berkenaan daripada menderma darah dalam usaha untuk menghalang jangkitannya.

Sementara itu, syarikat penerbangan turut mengambil langkah keselamatan membabitkan wanita hamil yang bakal terbang ke negara yang terbabit.

Syarikat penerbangan Chile, LATAM Airlines, menawarkan bayaran balik atau peluang untuk mengubah destinasi bagi wanita hamil dan mereka yang mengiringinya.

Seorang jururawat menemui  wanita hamil yang sedang menunggu untuk pemeriksaan, termasuk pemeriksaan Zika, di wad bersalin Hospital Escuela di Tegucigalpa, Honduras. - Reuters
Seorang jururawat menemui wanita hamil yang sedang menunggu untuk pemeriksaan, termasuk pemeriksaan Zika, di wad bersalin Hospital Escuela di Tegucigalpa, Honduras. – Reuters

Ia membabitkan penerbangan antarabangsa yang ditempah ke Brazil, Colombia, Mexico dan negara lain yang terjejas. Syarikat penerbangan United Airlines pula membolehkan pelanggan menangguhkan perjalanan mereka ke negara terjejas atau mendapatkan bayaran balik tanpa penalti. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA