WHO isytihar Liberia bebas Ebola

WHO isytihar Liberia bebas Ebola

MONROVIA, 10 Mei (AFP) – Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam mengisytiharkan Liberia bebas daripada Ebola, sambil menyambut baik pencapaian “amat penting” di negara barat Afrika di mana virus tersebut sudah mengorbankan lebih 4,700 orang.

“Wabak penyakit Ebola di Liberia sudah berakhir,” menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa 42 hari sudah berlalu sejak mangsa kes terakhir yang disahkan sudah pun dikebumikan.

Tempoh itu adalah sekali ganda jumlah hari virus itu perlukan untuk mengeram dan WHO menyambut baik pemberantasannya sebagai kemajuan amat besar dalam krisis yang panjang itu.

“Kejayaan menghalang berterusannya wabak itu merupakan satu pencapaian yang bersejarah bagi sebuah negara yang melaporkan jumlah kematian terbesar dan wabak yang paling kompleks sejak Ebola kali pertama muncul pada 1976,” katanya.

Pengisytiharan itu merupakan suatu kebanggaan hebat bagi warga Liberia yang sebelum ini sentiasa dalam kebimbangan oleh virus maut yang mereka secara serentak berusaha menanganinya secara bersama-sama.

Presiden Liberia Ellen Sirleaf Johnson (kanan) berjabat tangan dengan Jerry Brown, pengarah perubatan dan pembedahan di Monrovia, salah seorang yang menerajui usaha menangani wabak Ebola di negara itu. – AFP
Presiden Liberia Ellen Sirleaf Johnson (kanan) berjabat tangan dengan Jerry Brown, pengarah perubatan dan pembedahan di Monrovia, salah seorang yang menerajui usaha menangani wabak Ebola di negara itu. – AFP

“Kita sudah bebas daripada Ebola, Terima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu menentang Ebola. Kami adalah warga Liberia,” tulis Menteri Penerangan Liberia Lewis Brown melalui akaun Twitternya.

Berita baik tersebut turutu disambut baik oleh beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Palang merah, UNICEF dan Doctors Without Borders (MSF), selain para pegawai dari Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun jurucakap Rumah Putih Josh Earnest, dalam satu kenyataannya berkata: “Dunia jangan lupa bahawa wabak Ebola masih lagi wujud di negara jiran Sierra Leone dan Guinea.

“Kita tidak boleh mengambil sikap mudah sehingga keseluruhan wilayah mencapai dan kekal pada tahap sifar kes Ebola.”

WHO memberikan amaran itu kerana wabak Ebola masih berterusan di negara jiran Guinea dan Sierra Leone, menjadikan risiko masih kekal tinggi yang mangsa dijangkiti penyakit maut itu masih mampu memasuki semula negara berkenaan.