WHO: lokasi Olimpik tidak dipindah

WHO: lokasi Olimpik tidak dipindah

BERLIN, 29 Mei – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menolak gesaan daripada 150 pakar kesihatan yang mahu satu pertimbangan diperincikan bagi meminda atau mengubah lokasi Sukan Olimpik Rio berikutan virus Zika yang melanda Brazil.

Badan induk itu memberi alasan yang mengatakan sebarang pindaan sama sekali tidak akan mendatangkan perbezaan ketara terhadap penyebaran virus berkenaan.

Agensi kesihatan PBB, yang mengisytiharkan penyebaran zika di Amerika sebagai kecemasan global pada Februari lalu, dalam satu kenyataan memaklumkan, ‘tiada justifikasi kesihatan’ untuk meminda atau membatalkan Sukan Olimpik 2016 yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 21 Ogos ini.

Ratusan ribu pengunjung dari serata dunia dijangka berkunjung ke Rio de Janeiro serta destinasi Brazil yang lain pada musim panas ini bagi menyaksikan lebih kurang 10,000 atlet bertanding di Olimpik.

Dalam satu surat terbuka kepada pengurus besar WHO yang dikeluarkan Jumaat lalu, pakar kesihatan daripada lebih 24 negara termasuk bekas penasihat sains Rumah Putih, Dr Philip Rubin, menggesa supaya Olimpik di Rio ditunda ataupun diubah lokasinya sebagai menjaga kesihatan umum.

Gambar fail – pembasmian nyamuk dilakukan di salah satu tempat berlangsungnya sukan Olimpik. - AP
Gambar fail – pembasmian nyamuk dilakukan di salah satu tempat berlangsungnya sukan Olimpik. – AP

Surat itu menyatakan beberapa bukti saintifik yang ditemui betapa virus Zika boleh menyebabkan kecacatan kelahiran, paling ketara bayi dilahirkan dengan berkepala kecil. Untuk dewasa, ia mampu menyebabkan masalah neurologikal termasuk sindrom yang jarang berlaku yang mana boleh menjadi punca kematian atau lumpuh sementara.

Penulis surat juga melaporkan biarpun banyak usaha membendung pembawa virus iaitu nyamuk dipergiatkan namun jumlah jangkitan di Rio de Janeiro terus bertambah. – AP

ARTIKEL YANG SAMA