WHO nasihat negara terlibat Zika tolak dermaan darah

WHO nasihat negara terlibat Zika tolak dermaan darah

GENEVA, 5 Feb – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan negara berkaitan supaya menolak derma darah daripada orang yang melancong ke rantau yang dijangkiti virus Zika ketika Sepanyol mengumumkan kes pertama di Eropah membabitkan seorang wanita mengandung.

Ketika berpuluh kes dilaporkan di Eropah dan Amerika Utara membabitkan pelancong yang kembali dari kawasan yang terjejas, WHO menekankan mengenai kaitan antara Zika dan kecacatan menyebabkan bayi baharu lahir dengan saiz kepala yang kecil dan menggesa pihak berkuasa kesihatan supaya berjaga-jaga.

“Dengan risiko penularan jangkitan terbaharu virus Zika di banyak negara dan potensi kaitannya dengan virus itu menyebabkan kecacatan dan akibat klinikal lain, langkah berjaga-jaga perlu diambil terhadap derma darah dari mereka yang pulang dari kawasan dijangkiti virus itu,” kata jurucakap WHO, Tarik Jasarevic.

Sementara itu, mengenai kes pertama di Eropah, Kementerian Kesihatan Sepanyol berkata, seorang wanita mengandung yang kembali dari Colombia mungkin dijangkiti virus berkenaan. – AFP