WI Tutong terima kunjungan ACWW

WI Tutong terima kunjungan ACWW

Oleh HM Yusof

 

TUTONG, 2 Nov – Rombongan Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) telah mengadakan kunjungan kerja ke Pekan Tutong baru-baru ini, bagi meninjau kegiatan Persatuan Wanita Tutong (WI cawangan Tutong) di bangunan persatuan tersebut, di sini.

Lawatan berkenaan yang diketuai oleh Presiden ACWW bagi Asia Tenggara dan Timur Jauh (ATTJ), Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj, turut disertai Presiden ACWW, Ruth Shanks.

Hadir mengalu-alukan rombongan tersebut ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali dan Penasihat WI, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali serta Yang Di-Pertua WI, Hajah Marhani binti Abdul Latif.

Ruth Shanks ketika melaksanakan penanaman pokok mangga di halaman rumah WI Tutong.
Ruth Shanks ketika melaksanakan penanaman pokok mangga di halaman rumah WI Tutong.
Rombongan ACWW berkesempatan bergambar ramai bersama Persatuan Wanita Tutong.
Rombongan ACWW berkesempatan bergambar ramai bersama Persatuan Wanita Tutong.
Ruth Shanks berasa teruja melihat kuih Penyaram yang dihasilkan oleh beliau.
Ruth Shanks berasa teruja melihat kuih Penyaram yang dihasilkan oleh beliau.

Antara tujuan lawatan tersebut adalah untuk meninjau kegiatan persatuan-persatuan di bawah kawasan Asia Tenggara dan Timur Jauh di samping mengeratkan tali silaturahim di antara ACWW dan ahli-ahlinya.

Semasa lawatan itu, rombongan diberikan penerangan ringkas mengenai WI cawangan Tutong, demonstrasi masakan kuih-muih tempatan serta penanaman pokok sempena kenang-kenangan lawatan berkenaan.

Tunku Hajah Azizah yang cukup sinonim dalam bidang masakan dan menerbitkan buku resipinya sendiri, Air Tangan Tengku Puan Pahang dan Masakan Tradisional Pahang juga mengambil kesempatan untuk mencuba sendiri proses pembuatan kuih-muih asli Brunei seperti kuih Rangin, Gata, Cacah dan Penyaram.

ARTIKEL YANG SAMA