Widodo batalkan larangan ke atas media di Papua

Widodo batalkan larangan ke atas media di Papua

JAKARTA, 10 Mei (Reuters) – Presiden Indonesia berkata hari ini bahawa wartawan asing tidak lagi memerlukan kebenaran khas untuk berkunjung ke wilayah Papua, sekali gus membatalkan sekatan berusia beberapa dekad yang dikenakan disebabkan gerakan pemisah lama.

Pengumuman itu keluar sehari selepas Presiden Joko Widodo mengampunkan lima tahanan politik di Papua, tempat tinggal pemberontak yang telah bertempur dengan tentera dan polis sejak beberapa dekad lalu.

“Mulai hari ini, wartawan asing akan dibenarkan dan bebas datang ke Papua, sama seperti kawasan lain di Indonesia,” Setiausaha Kabinet Andi Widjajanto memetik Presiden Joko Widodo sebagai berkata ketika satu lawatan ke wilayah terpencil itu.

Wartawan asing sebelum ini memerlukan kebenaran kerajaan untuk melawat Papua, yang terkenal dengan lombong tembaga dan emas yang banyak yang dikendalikan oleh syarikat perlombongan AS Freeport McMoran Inc.

Pada tahun lalu, dua wartawan Perancis disabit bersalah menyalah guna visa pelawat untuk bekerja sebagai wartawan di Papua dan menghabiskan 11 minggu dalam tahanan sebelum dihantar pulang ke Perancis.

Dalam gambar diambil pada 9 Mei, kelihatan Joko Widodo (dua kiri) tiba bagi satu majlis membebaskan banduan politik di penjara Abepura terletak di Jayapura, wilayah timur Papua. Presiden itu mengatakan larangan laporan selama sedekad ke atas wartawan asing di Papua dibatalkan dan mengarahkan pembebasan sekumpulan banduan politik di wilayah dicengkam pemberontakan itu. – AFP

Widodo,yang sedang melawat Papua bersama satu rombongan yang termasuk sekumpulan wartawan asing yang berpangkalan di Jakarta, semalam mengampunkan lima tahanan politik yang disabit bersalah berhubung satu serangan ke atas gudang senjata tentera Indonesia pada 2003, kata media tempatan. Banduan berkenaan sedang menjalani hukuman penjara dari 19 tahun hingga hukuman penjara seumur hidup.

Pemerhati Hak Asasi Manusia meminta presiden supaya membebaskan berpuluh tahanan politik lain.

Papua digabungkan dalam Indonesia di bawah pengundian PBB pada 1969, selepas Jakarta mengambil alih kawasan tersebut pada 1963 pada akhir pemerintahan jajahan Belanda.