WIEF Ke-11 tumpu pembangunan PKS

WIEF Ke-11 tumpu pembangunan PKS

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) – Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-11, yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada November, akan menumpukan kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam, berkata buat kali pertama pada tahun ini, yayasan akan menyediakan Pavilion Perniagaan PKS dengan program sehari yang menumpukan kepada PKS.

WIEF Ke-11, akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3-5 Nov, menjangka menerima 2,500 delegasi dari 100 buah negara.

“Dalam usaha kami membantu Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, kami berharap Pavilion Perniagaan PKS akan memberikan pandangan yang berguna dan bantuan teknikal untuk menyokong PKS ke arah integrasi ASEAN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bertemakan, ‘Membina Daya Tahan bagi Pertumbuhan Saksama’, forum itu menyasarkan untuk meneruskan matlamatnya memudahkan pembangunan ekonomi ke arah pertumbuhan mampan dan saksama antara ekonomi Islam dan bukan Islam.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Pavilion Perniagaan PKS itu selaras dengan keputusan Malaysia untuk meneraju dan melancarkan Pelan Tindakan PKS ASEAN, susulan kejayaan Pameran PKS ASEAN yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta kerajaan Malaysia menyokong pendekatan yang diambil Yayasan WIEF dalam memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi Islam dengan mengambil kira manfaat yang akan diperoleh,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA