WiFi untuk semua

WiFi untuk semua

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Telekom Brunei Berhad (TelBru), hari ini, telah melakar sejarah baru apabila secara rasmi melancarkan perkhidmatan WiFi TelBru Seluruh Negara (TelBru Nationwide WiFi) dalam usaha untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat dalam penggunaan WiFi di tempat-tempat awam.

Pelancaran pada majlis yang berlangsung di Kompleks Membeli-belah Times Square petang tadi telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.

Pelancaran ini juga adalah bersempena dengan jerayawara TelBru yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 6 Mac.

Awang Eddie dalam ucapannya antara lain menekankan bahawa Internet telah menjadi perkara yang membentuk kehidupan moden di mana masyarakat masa kini mengharapkan Internet mudah diakses pada bila-bila masa.

Ini bukan sahaja dapat dilihat dalam kalangan ahli-ahli perniagaan dan profesional, malahan sesiapa sahaja yang memerlukan penggunaan media sosial, hiburan atau melayari web.

Awang Eddie (kiri) ketika melancarkan perkhidmatan WiFi TelBru Seluruh Negara sambil disaksikan Lim Ming Soon.
Awang Eddie (kiri) ketika melancarkan perkhidmatan WiFi TelBru Seluruh Negara sambil disaksikan Lim Ming Soon.
Awang Eddie ketika berucap pada majlis pelancaran itu, kelmarin.
Awang Eddie ketika berucap pada majlis pelancaran itu, kelmarin.
Salah seorang warga TelBru menerangkan mengenai produk-produk yang ditawarkan TelBru kepada Awang Eddie.
Salah seorang warga TelBru menerangkan mengenai produk-produk yang ditawarkan TelBru kepada Awang Eddie.
Awang Eddie menyaksikan pameran selepas menyempurnakan majlis pelancaran tersebut.
Awang Eddie menyaksikan pameran selepas menyempurnakan majlis pelancaran tersebut.
Antara yang menghadiri majlis pelancaran Perkhidmatan WiFi Seluruh Negara TelBru.
Antara yang menghadiri majlis pelancaran Perkhidmatan WiFi Seluruh Negara TelBru.

Oleh itu, kini sudah menjadi perkara biasa untuk melihat tempat-tempat awam, premis perniagaan dan restoran mempunyai perkhidmatan WiFi.

Menurut beliau lagi, bagi para pemilik perniagaan, ia merupakan satu cara untuk menarik pelanggan kerana mereka (pelanggan) akan lebih cenderung meluangkan masa lebih lama jika mereka dapat melayari Internet menggunakan tablet-tablet, komputer riba dan telefon mudah alih mereka.

Pelajar-pelajar juga akan dapat mengambil manfaat daripada perkhdimatan WiFi ini kerana mereka boleh berkomunikasi dengan pelajar lain dan guru-guru di mana sahaja mereka berada serta boleh melanjutkan pembelajaran di luar bilik darjah.

Manakala itu, Ketua Pegawai Pemasaran TelBru, Lim Ming Soon dalam ucapan alu-aluannya pula menjelaskan bahawa projek perkhidmatan WiFi berkenaan telah diperkenalkan kepada orang ramai pada 8 Disember 2015 lalu sebagai percubaan di 16 lokasi seperti kompleks membeli-belah dan restoran.

Semasa tempoh percubaan itu, ia telah menerima sambutan yang begitu menggalakkan daripada orang ramai, di mana secara purata terdapat 4,000 daftar masuk dicatat setiap hari dengan penggunaan data 80ke 90MB.

“Selepas dua bulan tempoh penstabilan, perkhidmatan ini telah dilancarkan secara rasmi oleh tetamu kehormat majlis hari ini.

“Saya sukacita memberitahu semua bahawa setakat ini lebih 50 lokasi di seluruh negara ini telah menggunakan perkhidmatan kami yang terdiri daripada kedai-kedai, kompleks membeli-belah, kafe, tempat-tempat awam dan banyak lagi.”

Beliau menjelaskan lagi bahawa perkhidmatan WiFi itu adalah sebahagian daripada strategi masa hadapan dalam usaha untuk memperluaskan lagi pencapaian TelBru dalam segmen jalur lebar di samping menawarkan produk-produk dan perkhidmatan yang semakin inovatif pada masa akan datang.

Menurut beliau lagi, ini adalah selaras dengan hasrat TelBru untuk memainkan peranan utama bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Pintar. Ini akan membuka peluang kepada para usahawan dalam ekosistem ini untuk membangun dan melaksanakan aplikasi dan penyelesaian Negara Pintar serta menggalakkan pembangunan inovasi dan penyelesaian bagi generasi baru perkhidmatan awam.

Sementara itu, TelBru dalam kenyataannya pula, menjelaskan bahawa objektif jerayawara berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pelbagai segmen WiFi TelBru termasuk mekanisme log masuk kepada perkhidmatan itu, lokasi yang mempunyai perkhidmatan tersebut dan butiran lain mengenai perkhidmatan yang disediakan.

Sepanjang jerayawara itu, orang ramai yang mendaftar bagi mana-mana pelan jalur lebar akan menerima pengecualian bayaran pendaftaran bernilai $50 dan mendapat kuota 25GB dengan tempoh sah 30 hari untuk sekali sahaja. Ini juga termasuk bagi pelan jalur lebar $25 yang baru sahaja diperkenalkan.

Selain itu, jerayawara juga akan dimeriahkan dengan aktiviti-aktiviti lain seperti permainan menyeronokkan dan pertandingan foto kreatif. Bagi para pelanggan yang mendaftar bagi mana-mana pelan jalur lebar dalam tempoh itu, juga akan berpeluang untuk memenangi hadiah dalam cabutan bertuah yang akan diadakan pada 6 Mac. Pendaftaran cabutan bertuah berkenaan akan diadakan pada hari yang sama, bermula pukul 12 tengah hari.

Pameran-pameran lain yang diketengahkan dalam jerayawara itu termasuk petak permohonan perkhidmatan TelBru, TelBru DMR dan My TelBru.

Sehubungan itu, TelBru mengalu-alukan orang ramai untuk menghadiri jerayawara berkenaan untuk mendapatkan maklumat mengenai produk-produk dan perkhidmatan terkini TelBru.