Wigan turun divisyen

Wigan turun divisyen

LONDON, 30 April – Wigan, juara Piala FA 2013 akan beraksi dalam divisyen tiga Inggeris musim depan selepas tersingkir daripada Liga Kejuaraan, awal pagi semalam.

Kemenangan 2-1 Rotherham ke atas Reading menyebabkan Wigan terjerumus dan akan disertai Millwall serta pasukan tercorot, Blackpool dalam Liga Satu.

Dengan baki satu perlawanan musim ini, Wigan yang baru-baru ini melantik bekas kapten kelab, Gary Caldwell sebagai pengurus baru selepas memecat Malky Mackay menghuni tangga kedua tercorot dengan hanya sembilan menang dan 39 mata.

Pengerusi Wigan David Sharpe mengeluarkan kenyataan beberapa minit selepas disahkan turun divisyen.

“Ia hari sedih buat setiap orang yang berkaitan dengan Wigan Athletic tapi kami akan bangkit, saya mahu ia menjadi mesej utama kepada penyokong kami,” katanya dalam laman web kelab.

“Sasaran tunggal musim depan adalah kembali ke Liga Kejuaraan, tiada yang lebih penting dan tugas membentuk semula skuad sudah dilakukan dengan baik oleh Caldwell dan stafnya.”

Caldwell mengambil alih 24 jam selepas Mackay dipecat 7 April lalu. Wigan yang tersingkir daripada Liga Perdana pada 2013, kembali ke divisyen tiga buat kali pertama sejak 2003. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA