Wijaya FC belasah Kilanas FC 3-0

Wijaya FC belasah Kilanas FC 3-0

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Wijaya FC mencerahkan harapan tipisnya untuk mengakhiri kempennya dalam Liga Super DST 2015 di tangga ketiga apabila menewaskan Kilanas FC 3-0 malam tadi.

Kemenangannya ke atas pasukan terbawah liga berkenaan membolehkannya mengumpul 28 mata, lima mata di belakang pasukan yang menghuni tangga ketiga ketika ini iaitu Najip i-Team (33 mata), pada ketika kedua-dua pasukan sama-sama sudah bermain 16 kali iaitu hanya berbaki dua permainan lagi.

Wijaya FC hanya akan dapat memenangi tempat ketiga jika menang kedua-dua baki perlawanannya untuk mengumpul 34 mata sambil mengharapkan Najip i-Team tewas dalam kedua-dua perlawanan terakhirnya untuk kekal dengan 33 mata.

Dalam aksi di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, Jamrin bin Haji Johari memberikan pendahuluan awal buat Wijaya FC apabila membolosi gawang Kilanas FC seawal minit ke-4.

Wijaya FC (biru) berjaya menewaskan Kilanas FC 3-0 ketika perlawanan Liga Super DST 2015 dalam hujan lebat malam tadi.
Wijaya FC (biru) berjaya menewaskan Kilanas FC 3-0 ketika perlawanan Liga Super DST 2015 dalam hujan lebat malam tadi.

Perlawanan disambung pada separuh masa kedua dengan kedudukan masih 1-0 namun Abdul Azim bin Abdul Rashid segera mengubahnya menjadi 2-0 ketika sepak mula baru seminit berlalu.

Kilanas FC yang ketinggalan bermain baik dalam keadaan hujan lebat, cuma kempunan gol akibat kecuaian atau kegagalan para pemainnya menyempurnakan peluang terhidang selain kecekapan Mohd Burhanuddin bin Haji Edy Asmady mengawal gawangnya dari dibolosi.

Wijaya FC akhirnya berjaya mendapatkan gol ketiganya pada minit ke-80 menerusi sentuhan gol kedua Abdul Azim yang sekali gus memusnahkan sebarang harapan kebangkitan Kilanas FC untuk memuktamadkan keputusan jaringan 3-0.

Tewas lagi, Kilanas FC terus terperuk di tangga ke-10 dengan 3 mata selepas mengharungi 16 permainan sekali gus mengesahkan penyingkirannya dari menyertai Liga Super DST musim akan datang dan bermain dalam Liga Perdana DST 2016.

pg23_151112_b