Wijaya FC pantang undur

Wijaya FC pantang undur

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 22 Sept – Perebutan tempat keempat Liga Super DST 2015 berterusan apabila malam tadi menjadi giliran Wijaya FC pula menghuninya semula walau sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan MS PDB, sekali gus menggugurkan Tabuan Muda ke tangga kelima.

Awangku Anaqi Sufi bin Pengiran Haji Omar Baki memacu Wijaya FC ke depan 1-0 pada minit ke-17 tetapi kedudukan menjadi seimbang semula, 1-1, pada minit ke-23 apabila APO 6592 Mohd Bohari bin Mohammad Hasan meledakkan jaringan buat MS PDB.

Bagaimanapun pada perlawanan di Kompleks Sukan Tutong berkenaan, Awangku Anaqi Sufi mengembalikan pendahuluan satu gol Wijaya FC, kali ini dengan jaringan 2-1, hanya lima minit selepas jaringan penyamaan MS PDB.

Wijaya FC merampas semula kedudukan keempat daripada Tabuan Muda selepas turut mencatat keputusan seri 2-2 dengan MS PDB malam tadi.
Wijaya FC merampas semula kedudukan keempat daripada Tabuan Muda selepas turut mencatat keputusan seri 2-2 dengan MS PDB malam tadi.

Wijaya FC bertahan baik selepas itu bagi mengekalkan pendahuluannya sehingga rehat dan selepas rehat, cuma untuk berjaya dibolosi juga akhirnya oleh PC 5701 Mohamad Fazizzul bin Hussin untuk memberikan pasukannya gol penyamaan, 2-2.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol kemenangan namun keputusan tetap tidak berubah sehingga perlawanan tamat untuk memberikan kedua-dua pasukan tambahan satu mata.

Wijaya FC berjaya mendapatkan semula tempat keempat berkenaan setelah turut mengumpul 21 mata bersama Tabuan Muda tetapi memiliki kelebihan 30 jaringan, 21 bolos dan +9 perbezaan gol berbanding Tabuan Muda dengan 23 jaringan, 14 bolos dan +9 perbezaan gol. Kedua-dua pasukan sudah melalui 12 perlawanan.