Wijaya FC seri 2-2 dengan Lun Bawang

Wijaya FC seri 2-2 dengan Lun Bawang

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Wijaya FC terlepas peluang mendekatkan dirinya hanya tiga mata di belakang pasukan di tempat ketiga, Najip i-Team apabila sekadar seri 2-2 dengan pasukan di tangga ke-8 Liga Super DST 2015, Lun Bawang malam tadi.

Pada masa yang sama, keputusan seri itu juga membuatkannya hanya satu mata di atas pasukan di bawahnya di tangga kelima, Tabuan Muda, tatkala ketiga-tiga pasukan berkenaan masing-masing sudah bermain 15 kali. Najip i-Team dengan 30 mata, disusuli Wijaya FC dengan 25 mata dan Tabuan Muda 24 mata.

Bukan itu saja, dalam perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, Lun Bawang mengejutkan Wijaya FC dengan ciptaan dua gol pada separuh masa pertama untuknya mendahului 2-0 sehingga rehat. Kedua-dua gol dihasilkan oleh Amir bin Bujang masing-masing pada minit ke-21 dan ke-30.

Lun Bawang nyaris meraih tiga mata menerusi dua gol awal Amir (kiri) tetapi Wijaya FC (biru muda) berjaya mengejar untuk berkongsi satu mata.
Lun Bawang nyaris meraih tiga mata menerusi dua gol awal Amir (kiri) tetapi Wijaya FC (biru muda) berjaya mengejar untuk berkongsi satu mata.

Jaringan Awangku Anaqi Sufi bin Pengiran Haji Omar sebelas minit selepas rehat menaikkan semangat Wijaya FC untuk mengejar yang tercapai segera iaitu empat minit kemudian menerusi rembatan Khalil bin Saab.

Pada kedudukan 2-2 kedua-dua pasukan dilihat sama-sama berusaha mendapatkan gol kemenangan dan antara semua percubaan itu, rembatan Idris bin Lupat pada minit ke-90 adalah yang paling hampir menghasilkan gol tetapi mujur Md Burhanuddin bin Haji Edy Asmady sempat merebahkan badannya ke kanan dan menepis bola keluar untuk sepakan sudut.

ARTIKEL YANG SAMA